Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan, parti Islam itu sememangnya tidak akan menuntut kerusi menteri besar Selangor jika Tan Sri Khalid Ibrahim ditukarkan.
"Memang menjadi pandangan umum pemimpin PAS, PAS tidak boleh menuntut kerusi MB Selangor buat masa sekarang. Ia hak PKR," katanya.Mustafa juga berkata, memang ada perbincangan di kalangan pimpinan PAS secara tidak rasmi mengenai pertukaran Khalid “tetapi ia belum ada keputusan rasmi lagi”.PAS telah bersetuju untuk menukar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sementara itu, setiausaha agung PKR, Saifudin Nasution Ismail memaklumkan, PKR akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam ini untuk menentukan nasib MB Selangor itu.
Bagi beliau, keputusan PAS yang menegaskan tidak menuntut kerusi itu adalah satu yang sangat positif demi kepentingan Pakatan Rakyat dan untuk meredakan ahli peringkat bawahan.
"Kita harap pimpinan PKR akan mengambil tanggungjawab besar ini diikuti dengan kebijaksanaan dalam membuat keputusan," kata Saifudin .
Menurut beliau, mesyuarat MPP pada 14 Januari lalu telah membincangkan perkara ini dan telah memberikan mandat kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menguruskan dan membuat cadangan mengenainya.
"Anwar telah membawa perkara ini dalam mesyuarat biro politik dan keputusan akhir akan dibuat malam ini," kata Saifudin.
Seorang pemimpin kanan PAS memberitahu The Malaysian Insider: "Kita pada dasarnya bersetuju dua perkara iaitu menukar Khalid dan penggantinya bukan PAS tetapi kita masih belum sepakat siapa pengganti itu."
Isu MB Selangor panas sejak beberapa lama dan tidak selesai sehingga kini.
Ia dikatakan menjadi salah satu punca populariti Pakatan Rakyat jatuh merudum di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) setahun selepas PRU13 mendapati sokongan kepada Pakatan jatuh kepada 35% berbanding 50% enam bulan sebelum pilihan raya itu.