ARTIKEL SEBELUM

4/07/14

Selepas dikritik, Putrajaya setuju Lebuhraya Kidex disemak semula

 Kempen bantahan penduduk terhadap Lebuhraya Kidex mendapat perhatian apabila Putrajaya bersetuju mengkaji semula pembinaan lebuh raya itu. Gambar fail The Malaysian Insider.
Selepas kritikan meluas daripada penduduk Petaling Jaya terhadap kontroversi Lebuhraya Kinrara – Damansara (Kidex), Putrajaya akhirnya bersetuju menyemak semula projek bernilai RM2.42 bilion itu.

Perkara ini didedahkan oleh persatuan penduduk anti – Kidex yang berjumpa dengan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof malam tadi di mana mereka memberi taklimat kepada kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai kelemahan projek itu.

Ahli jawatankuasa Say-No-To-Kidex kemudiannya diberitahu agar membuat kesimpulan dan menyerahkan bantahan mereka dalam bentuk bertulis bagi membolehkan kementerian menyemak semula projek itu, kata ahli kumpulan tersebut Mak Khuin Weng.Perkembangan ini boleh dilihat sebagai kemenangan kecil kumpulan berkenaan yang mendakwa mewakili penduduk terjejas akibat pembinaan lebuh raya tersebut dalam percubaan menghentikan projek itu.

Fadhilah juga mengarahkan pemaju projek Kidex Sdn Bhd menyerahkan dokumen dan laporan relevan kepada kumpulan itu bagi membolehkan mereka melengkapkan pembentangan teknikal.

“Kerajaan pusat memberikan ruang untuk kita didengari dan kita akan menggunakannya,” kata Mak kepada pemberita selepas bertemu dengan sekumpulan ahli Parlimen PKR di sebuah hotel di Petaling Jaya, malam tadi.

Mak berkata, Fadhillah melihat laporan teknikal bantahan kumpulan itu sebagai proses konsultasi yang perlu dipenuhi jika projek tersebut diteruskan.

“Menteri memanggil kita untuk mesyuarat selepas melihat kempen kita mendapat publisiti meluas.

“Kami berterima kasih kepadanya kerana memberikan peluang untuk mendengar penjelasan kami,” katanya dan menambah kumpulan itu akan turut membentangkan laporan teknikal kepada kementerian.

Dalam laporan berita pada 6 Jun Fadillah berkata, projek tersebut hanya akan diteruskan jika memenuhi syarat ditetapkan Putrajaya.

"Antara syarat yang perlu dipenuhi syarikat itu adalah menunjukkan ia mempunyai keupayaan kewangan untuk membina lebuh raya dan perlu mendapatkan maklum balas orang ramai dengan mengadakan kaji selidik pendapat awam mengenai cadangan lebuh raya itu," Fadillah dilaporkan berkata.

Kidex mesti memenuhi syarat itu sebelum November tahun ini.

Pemaju mendakwa lebuh raya ini bertujuan mengurangkan kesesakan di Petaling Jaya dengan menawarkan laluan alternatif kepada pengguna dari Kinrara di bahagian selatan Lembah Klang ke Bandar Utama di utara.

Tetapi penduduk Petaling Jaya menentang pembinaan lebuh raya itu kerana mereka mendakwa ia akan memburukkan lagi jalan yang sudah sesak, risiko keselamatan kanak-kanak sekolah dan mencemarkan kawasan kejiranan.

Jika diluluskan, lebuh raya bertingkat Kidex akan melalui kawasan kejiranan di Petaling Jaya yang berusia 60 tahun lalu.

Jalan yang dicadangkan akan memotong lebih 3,700 bidang tanah, termasuk rumah, kilang, kedai, pusat beli-belah dan sekolah.

Kidex adalah antara enam lebuh raya bertol baru yang sedang dicadangkan di Lembah Klang dan Selangor, sebahagian daripada rangkaian bersepadu.

Setakat ini, empat daripada projek ini – SUKE (Sungei Besi-Hulu Klang Expressway), DASH (Damansara-Shah Alam Elevated Expressway), EKVE (East Klang Valley Expressway) dan yang terbaru Kidex mendapat bantahan penduduk di Cheras, Kota Damansara, Ampang dan Petaling Jaya.

Selain mengkritik Putrajaya, penduduk marah dengan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana membenarkan projek ini diteruskan.

Mereka menuduh kerajaan PR tidak menunaikan janji untuk berbincang dengan penduduk sebelum memulakan projek mega seperti itu dan lebuh raya itu bercanggah dengan manifesto PR untuk memansuhkan jalan bertol.

Sebelum ini kerajaan Selangor kata,mereka tidak mempunyai pilihan selain meluluskan projek berkenaan secara prinsipnya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak boleh menolak hanya kerana ia projek kerajaan pusat dan akan mengkaji sama ada ia untuk kebaikan orang ramai.

Bagaimanapun, Mak berkata, Putrajaya hanya memberikan kelulusan kepada projek itu selepas pemaju mendapat kelulusan daripada Selangor pada 2012.

Apabila ditemui selepas mesyuarat itu Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang berkata, PKR bersetuju dengan kebimbangan kumpulan itu.

“Jika ia tidak memberikan manfaat, kami akan menentangnya. Tetapi kami tidak pasti sama ada bantahan kami cukup untuk menghentikan projek itu,” katanya. – 4 Julai, 2014.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud