ARTIKEL SEBELUM

31/07/14

PAS S'gor ikrar setia bersama Pakatan

 


PAS Selangor hari ini memberi jaminan kepada rakannya dalam Pakatan Rakyat ia akan terus kekal dalam pakatan itu "walau dalam apa jua keadaan sekalipun".

Setiausahanya Mohd Khairuddin Othman berkata PAS Selangor tidak tahu menahu perihal anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berbincang melalui rangkaian kumpulan WhatsApp anggota jawatankuasa itu tentang kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno di Selangor serta mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai Menteri Besar.

"Tidak ada langsung perbincangan tentang perkara itu dan PAS Selangor komited serta setia kepada Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mohd Zuhdi dilaporkan menyuarakan tentang kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno di Selangor dan mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Perbualan itu didakwa terkandung dalam mesej kumpulan WhatsApp antara anggota Jawatankuasa Pusat PAS.

'Tiada yang lompat'

Mohd Khairuddin berkata PAS Selangor mengekalkan rekodnya yang tidak mempunyai sebarang wakil rakyatnya di Selangor menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN).

"Dalam rekod kami, tidak ada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kami yang menyeberang kepada Umno atau BN. Dan kami akan mengekalkan rekod ini," katanya.

Beliau berkata perkara tersebut adalah pandangan peribadi Dr Mohd Zuhdi dan tidak memberi kesan kepada PAS Selangor.

Para pemimpin PKR, PAS dan DAP menyuarakan pelbagai pandangan berikutan keputusan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, anggota jawatankuasa DAP Selangor Charles Santiago, yang juga Anggota Parlimen Klang, berkata para pemimpin PAS perlu memisahkan diri mereka daripada mesej WhatsApp itu.

Beliau menggesa presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian beliau tentang "isu WhatsApp" itu dengan menegaskan bahawa kepimpinan PAS Selangor setia dan komited kepada Pakatan Rakyat.

"Bagi DAP Selangor, kami sentiasa setia dan komited kepada Pakatan (Rakyat)," katanya kepada Bernama.

Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid, dengan berkata beliau perlu terus menyandang jawatan Menteri Besar Selangor hingga berakhirnya penggal sekarang.- mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud