ARTIKEL SEBELUM

11/07/14

KPDNKK nafi mohon maaf kepada YSLM

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menafikan mengeluarkan permohonan maaf kepada syarikat jualan langsung, YSLM atas tindakan yang diambil terhadap syarikat itu.

KPDNKK dalam kenyataan berkata malah tindakan tegas akan diteruskan terhadap apa sahaja aktiviti yang melibatkan syarikat itu termasuk menahan pemilik syarikat tersebut iaitu seorang warga China Zhang Jian, 26, untuk siasatan lanjut.

"Berita yang tersebar di laman sosial menyatakan KPDNKK memohon maaf serta akan memulangkan semula barangan yang dirampas kepada pihak YSLM adalah palsu," katanya.

YSLM dipercayai menjalankan perniagaan secara haram di negara ini dan tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta tidak memiliki lesen daripada KPDNKK untuk menjalankan aktiviti jualan langsung.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati Zhang yang mendakwa dirinya orang terkaya dunia, datang ke Malaysia dan mewujudkan skim cepat kaya dengan menawarkan pelaburan serendah RM300 dan boleh memperoleh pulangan antara RM2,700 hingga RM6,000 sebulan secara dalam talian.

Kenyataan itu berkata, Zhang juga didapati menjalankan perniagaan di bawah syarikat CDTUP International Sdn Bhd yang memperoleh lesen jualan langsung daripada KPDNKK.

Siasatan terhadap YSLM dijalankan di bawah Seksyen 27 (b) Skim Anti Piramid manakala CDTUP international Sdn. Bhd. pula di bawah Seksyen 6(4) Pelanggaran Syarat Lesen di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Bagi kesalahan kali pertama di bawah Seksyen 27(b), hukuman yang dikenakan adalah denda tidak kurang daripada RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(4), hukuman dikenakan adalah pembatalan lesen jualan langsung. Tindakan tegas akan dikenakan atas mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-Piramid 1993," kata kenyataan itu. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud