ARTIKEL SEBELUM

3/07/14

Kes Nurul Izzah saman Utusan diteruskan

 


KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan untuk proses mediasi hari ini.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Aziz dan Utusan ketika ditemui pemberita memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju untuk perbicaraan, dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 21 dan 22 Ogos depan.

Proses mediasi itu dijalankan di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim yang turut dihadiri peguam Azhana Mohd Khairuddin yang mewakili Nurul Izzah.

Prosiding mediasi itu turut dihadiri Nurul Izzah dan Aziz.

Pada 23 Nov 2012, Nurul Izzah selaku plaintif memfailkan saman itu dengan mendakwa Aziz dan Utusan, sebagai defendan pertama dan kedua, memutarbelitkan kenyataannya dalam forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, mendakwa empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya itu diterbitkan akhbar Utusan Malaysia pada 5 dan 7 Nov, 2012.

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah itu, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau dan kos difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud