ARTIKEL SEBELUM

28/07/14

Isu MB Selangor: Rakyat marah PAS, risau BN kuasai semula negeri

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan akur dengan keputusan Pakatan Rakyat untuk menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor mengundang kritikan hebat di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insider. 

Berikutan keengganan pimpinan PAS menerima keputusan Pakatan Rakyat untuk menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, ramai rakyat Malaysia melepaskan kemarahan mereka terhadap parti Islam itu di Internet dan memintanya meninggalkan Pakatan Rakyat.

Sebahagian pula mengkritik pakatan yang longgar itu atas “keserabutan” yang berlaku di Selangor, sambil berkata negeri terkaya di Malaysia itu berpotensi dirampas semula Barisan Nasional jika masalah dalam Pakatan tidak diselesaikan segera.

"Ini mungkin hikmahnya – membersihkan Pakatan daripada mereka yang mempunyai visi terlalu kecil yang tidak termasuk Putrajaya," kata seorang pengguna Internet, menggunakan nama @MengoYee di Twitter, merujuk kepada PAS.@kcwai berkata: "Jadi, Hadi sanggup untuk hilang Selangor kepada BN dalam PRU14, walaupun ada seruan menukar Khalid sebagai MB, sama seperti PAS hilang Kedah?"

Beliau merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap Khalid dan keengganannya menukar menteri besar itu.

"Sebaliknya, PAS perlu keluar (dari Pakatan). Dengan itu, pihak yang sederhana boleh terus memastikan Pakatan boleh berjaya. Cukup-cukuplah lawak geng pro-Umno," kata @kcwai lagi.

Pengguna Twitter @oonyeoh bersetuju, katanya: "Tak mengapa. Saya bersedia nak tengok PAS kembali ke zaman dulu sebagai sebuah parti pembangkang yang hanya boleh memenangi Kelantan."

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sebelum ini keengganan PAS menghormati dan mematuhi pandangan yang disetujui ramai di dalam Pakatan boleh memecahkan gabungan itu.

Sementara itu, @lawofmalaysia memberi amaran: "kalau ini yang terjadi, PAS akan hilang sokongan semua bukan Melayu di Selangor!"

"Ini hanya akan membuatkan Pakatan kalah, bukan BN menanng," kata @SharaadKuttan.

Yang lain pula mengatakan sokongan kepada Pakatan akan jatuh berikutan perbezaan pendapat antara parti komponennya.

"Paras air di empangan-empangan di Selangor mungkin sama rendah dengan paras sokongan rakyat Selangor kepada Pakatan. aku rasa la," kata @norman__g.

@askaychan menambah: "Permainan politik di Selangor berkaitan jawatan menteri besar, di tengah-tengah tragedi MH370, MH17 dan Gaza amat menjijikkan."

@ahmadridzalman juga berkata: "setuju 100%.. memang padan muka kalau hilang kuasa disebabkan isu ini."

Awal tahun ini, PKR mengambil Langkah Kajang untuk menukar Khalid dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima berbagai aduan tentang menteri besar yang sudah masuk penggal kedua perkhidmatannya tetapi didakwa mentadbir negeri sesuka hatinya tanpa berunding dengan partinya, PKR atau pimpinan Pakatan.

Dia juga dikritik dalam caranya menangani beberapa isu lain seperti catuan air, rampasan bible versi Melayu dan Iban oleh Jais dan Lebuhraya Kinrara Damansara.

Anwar sepatutnya bertanding dalam pilihanraya kecil Kajang tetapi rancangan itu tergendala selepas Mahkamah Rayuan mendapati dia bersalah dalam kes Sodomy II-nya melibatkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Isterinya, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding menggantikan Anwar, menang kerusi dewan undangan negeri itu dan dipersetujui PKR sebagai paling layak menduduki kerusi menteri besar Selangor. Persetujuan juga dicapai dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan pada hari Rabu.

Bagaimanapun, Khalid bertegas dia tidak akan mengundur diri sehingga penggalnya tamat.

Sokongan Hadi kepada Khalid, diikuti kenyataan timbalan presiden Mohamad Sabu yang mengatakan Hadi hanya memberi pandangan peribadinya, mungkin memecah-belahkan parti itu.

Pemimpin berpengaruh PAS, Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat juga memihak kepada Hadi yang menyatakan sokongannya kepada Khalid.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud