Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka meletakkan jawatan sebagai penasihat ekonomi Selangor selepas isterinya, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai menteri besar Selangor.
Pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini, Anwar berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk beliau berundur secara baik.
"Kita akan bincang cara baik proses perjalanan di Selangor."Saya tidak fikir saya akan berperanan sekiranya Azizah menjadi menteri besar," katanya pada sidang media itu.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang bermesyuarat hari ini menerima cadangan PKR membuat pertukaran menteri besar Selangor dan mencalonkan Dr Wan Azizah.
“Parti DAP dan PAS akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.
“DAP dan PAS secara dasarnya menghormati prinsip pencalonan jawatan menteri besar Selangor adalah daripada PKR,” tiga pemimpin kanan PR dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan Anwar , Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
DAP dan PAS bagaimanapun hanya akan memutuskan perkara itu dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dalam masa terdekat.
Peguam Perlembagaan menjangkakan, pilihan raya negeri mengejut mungkin akan berlaku di Selangor sekiranya Khalid terpaksa berdepan dengan usul undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana enggan berundur atas desakan parti untuk menyingkirkan dirinya, kata peguam.
Peguam Perlembagaan berpendapat, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mungkin akan menggunakan kuasa sultan sekiranya Khalid membuat permohonan membubarkan DUN berdasarkan peruntukan dalam perundangan dan Perlembagaan negeri.
Mereka menjangkakan pelbagai senario bakal berlaku jika Khalid enggan berundur selepas PKR mengambil keputusan menggantikan beliau dengan presiden parti itu, Dr Wan Azizah.- TMI