Rang undang-undang untuk menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor akhirnya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.
Tiada anggota DUN daripada Pakatan Rakyat mengundi menyokongnya.
Rang undang-undang itu dibentangkan oleh exco Datuk Abd Latiff Bandi pada 2.30 petang ini.
Setelah pelbagai kritikan, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam berkata, rang undang-undang itu akan dipinda dengan memasukkan peranan sultan atas nasihat menteri besar. - Mkini
_______________________________________________
RUU Johor lulus, Zam ajak berkabung
Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, rakyat Johor harus sedia untuk berkabung jika rang undang-undang kontroversi Johor diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
“Jika rang undang -undang ini diluluskan maka hari ini adalah hari untuk seluruh rakyat Johor berkabung di atas malapetaka yang akan terus menimpa mereka akibat dari kepimpinan yang amat lemah,” katanya yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu.
Menulis di blognya, Zainuddin berkata, setelah menghadapi bantahan dan tekanan pelbagai pihak, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disifatkannya terburu-buru membuat beberapa pindaan.
“Seorang menteri besar yang benar benar prihatin akan perasaan rakyat akan menangguhkan dulu pembentangan rang undang-undang yang penuh kontroversi ini kerana mengiktiraf kuasa rakyat lebih besar dari kuasa raja dan tidak meneruskan pembentangannya kerana lebih takut kepada pihak yang kedudukan mereka berada dalam tangan rakyat,” katanya.
Zainuddin juga membangkitkan tujuan diadakan peranan sultan dalam rang undang-undang menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) itu.
“Siapakah yang menawarkan peranan ini kepada Sultan? Walaupun peranan Sultan digantikan dengan pihak berkuasa, rakyat faham bahawa mereka diketuai oleh seorang pemimpin yang tidak berwibawa,” katanya.
Zam menulis demkian dalam artikel berjudul "Pindaan yang penting ialah meniadakan langsung peranan raja: rakyat Johor berkabong har ini” dalam blognya Zam Kata.