ARTIKEL SEBELUM

1/06/14

Polis perlu masa kenal pasti identiti suspek

 

KUALA LUMPUR - Polis memerlukan sedikit masa bagi mengenal pasti identiti suspek kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan pada Khamis malam lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Superintendan Gan Kong Meng berkata, pengesanan atau pemeriksaan ke atas cap jari suspek lelaki itu tidak dapat dijalankan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Pusat Pendaftaran Jenayah kerana hari ini masih cuti hujung minggu.

"Pihak polis juga masih menunggu keputusan atau laporan bedah siasat. Pada peringkat ini, diharap media faham dengan situasi yang dihadapi pihak polis supaya tidak berlaku kesilapan fakta yang boleh menjejaskan hala tuju siasatan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau juga berkata pihaknya belum mengenal pasti motif sebenar pembunuhan kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan itu.

"Siasatan polis akan mencakupi semua sudut, termasuk merekodkan rakaman percakapan kedua ibu bapa dan mereka yang mengenali keluarga mangsa," katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira 9 malam itu, seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya terputus daripada badan dipercayai dikelar suspek di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur di Jalan Hishamuddin di sini.

Saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan 'sesuatu' pada leher mangsa, dan apabila saksi cuba menghampiri suspek, dia melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai.

Semalam, suspek lelaki itu ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran tol Sunway pada kira-kira 3 petang.

Mayat itu ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang awam yang memaklumkannya kepada polis. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud