ARTIKEL SEBELUM

27/06/14

Piket batal

 


Kesatuan Pekerja-Pekerja Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menangguhkan piket yang sepatutnya diadakan petang ini bagi membantah penutupan landasan Gua Musang-Gemas pada 27 Jun selepas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menarik kembali keputusan tersebut.

Pre‎siden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan (gambar) berkata, penangguhan itu diputuskan bagi membolehkan kesatuan meneliti terlebih dahulu perkembangan mengenai pembatalan tersebut daripada SPAD sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

"Kita bukan membatalkan piket tapi menangguhkan untuk melihat dahulu perkembangan,. Setelah itu baru kita putuskan mahu teruskan atau batal," katanya .

Ekoran pendirian SPAD untuk meneruskan arahan penutupan ‎landasan Gua Musang-Gemas atas faktor keselamatan, KPPKTMB dalam kenyataannya pada Isnin lalu menyatakan akan mengadakan piket bagi membantah keputusan SPAD itu.

Piket bantahan penutupan landasan Gua Musang-Gemas itu sepatutnya diadakan petang ini di hadapan ibu pejabat suruhanjaya tersebut.

Presiden kesatuan itu berkata lagi, pembatalan penutupan itu dimaklumkan oleh Pengerusi KTMB, Datuk Nawawi Ahmad yang mengambil tanggungjawab memastikan aspek keselamatan melalui prosedur berdasarkan Aturan Peraturan KTMB, Peraturan Operasi dan Peraturan Urusan Jalan.

"Selepas mesyuarat lembaga pengarah SPAD, pengerusi KTMB ki‎ra-kira jam 4 petang menelefon saya mengenai perkembangan itu.

"Beliau berkata SPAD bersetuju membatalkan setelah tanggungjawab diberikan kepada beliau mewakili KTMB," katanya.

Beliau pada masa yang sama menyelar Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir yang disifatkan gagal menjalankan peranannya.

Katanya, kesatuan melahirkan kekecewaan terhadap sikap lepas tangan presiden itu dimana ia terpaksa ditanggung oleh pengarah yang prihatin terhadap nasib pekerja KTMB dan rakyat Pantai Timur.

"Kita melahirkan kekecewaan amat mendalam terhadap presiden yang tidak menjalankan tanggungjawab dan peranannya.

"Meskipun kita berterima kasih kepada Datuk Nawawi namun tanggungjawab itu sepatutnya terletak di bawah presiden," katanya.

Beliau juga menyifatkan Nawawi menjadi penyelamat kepada kakitangan dan rakyat di Pantai Timur dan imej KTMB sendiri.

Antara lain beliau juga menyelar SPAD agar selepas ini lebih memahami dan melakukan analisis dalam aturan kereta api.

"SPAD kena faham prosedur operasi landasan kereta api. Ia bukan seperti jalan raya. Ada cara dan langkah.

"SPAD tidak boleh turut kononnya mengikut akta suruhanjaya itu. Bukan itu yang sepatutnya," katanya.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan peruntukan RM400 juta untuk menaiktaraf laluan Gemas-Gua Musang melibatkan laluan sepanjang 322 kilometer yang menyebabkan laluan itu bakal ditutup.

Meskipun bantahan daripada kesatuan yang menyatakan tindakan penutupan bukan sahaja menjejaskan lebih 300 pekerja bahkan kepada rakyat Pantai Timur namun SPAD bertegas menutup landasan tersebut atas faktor keselamatan bagi memberi laluan kepada kerja membaik pulih.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud