ARTIKEL SEBELUM

23/06/14

Pemergian Abu Bakar: Hadi masih terkejut

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pemergian AJK Pas Pusat, Allahyarham Datuk Abu Bakar Chik yang meninggal dunia awal pagi tadi sebagai satu kehilangan besar kepada parti itu.

Menurut bekas Menteri Besar Kelantan itu, Allahyarham banyak menyumbang kepada parti itu khususnya dalam bidang pendidikan. Nik Aziz turut menggelar Allahyarham sebagai Bapa Pendidikan Pas.

Sesungguhnya beliau telah menyumbang jasa yang begitu banyak kepada Pas khususnya di dalam bidang pendidikan, bahkan tidak keterlaluan untuk digelar sebagai Bapa Pendidikan Pas.

"Saya sifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada Pas. Semoga ALLAH SWT memberi ganjaran atas segala kebaikan yang telah dilakukan oleh Allahyarham dengan sebaik-baik ganjaran,” katanya yang dipetik melalui laman sosial Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemergian Allahyarham benar-benar mengejutkannya.

"Sesungguhnya pemergian beliau adalah amat mengejutkan, merupakan suatu kehilangan besar bukan sahaja kepada parti tetapi kepada dunia gerakan Islam seluruhnya.

"Semoga jasa dan ilmu yang disampaikannya kepada kita menjadi amalan soleh yang berterusan di sisi ALLAH SWT," katanya menerusi satu kenyataan.

Difahamkan, Allahyarham yang merupakan bekas Exco Terengganu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur setelah bertemu dengan Abdul Hadi sebelum terlibat dalam kemalangan terbabit.

 

“Pas Pusat merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan ahli keluarga Allahyarham dan turut berdoa agar beliau berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para pejuang Islam dan solihin,” katanya lagi.

Allahyarham meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jam 3.16 pagi tadi di KM 390 laluan Bukit Besi-Ajil. Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu manakala pembantunya yang memandu kereta Toyata jenis Camry tersebut hanya cedera.

Solat jenazah dijadual diadakan di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring selepas Asar, hari ini.- sh

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud