ARTIKEL SEBELUM

13/06/14

MP Kulim Bandar Baharu kata akan langsai hutang

 

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata beliau akan melangsaikan semua bayaran tunggakan kepada bank bagi mengenepikan notis kebankrapan yang diterimanya kelmarin.

Beliau berkata, tunggakan itu tidak disedarinya yang merupakan kes lama, berlaku sebelum tahun 2007 membabitkan syarikat keluarganya.

"Saya hanya mendapat maklum (perkara ini) malam semalam dan ia melibatkan kegagalan syarikat keluarga saya membuat pembayaran pinjaman bank. Malah saya tidak berada dalam perniagaan itu lagi.

"Namun, oleh kerana melibatkan saya, saya akan selesaikan dalam tempoh terdekat. Saya telah ambil langkah hubungi bank," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas penyiaran dalam akhbar notis kebankrapan terhadapnya yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kemudiannya disebarkan secara meluas dalam portal berita serta media sosial.

Notis kebankrapannya itu diiklankan dalam beberapa akhbar tempatan oleh peguam pemiutang, Alliance Investment Bank Berhad, kelmarin.

Abdul Aziz berkata, buat masa ini, beliau masih menjalankan tugas sebagai Anggota Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu seperti biasa.

"Justeru, saya meminta orang ramai dan pengundi agar tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa saya telah hilang status sebagai Ahli Parlimen,' katanya.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud