ARTIKEL SEBELUM

13/06/14

Isu air lombong Selangor: MP DAP timbang tindakan mahkamah

Kerajaan Selangor mungkin akan berdepan tindakan mahkamah jika terus berdegil menggunakan air daripada bekas lombong dan enggan mendedahkan kandungan kimia kepada penduduk negeri, kata Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago.

Beliau berkata, kajian oleh Universiti Malaya (UM) baru-baru ini menunjukkan bahawa air daripada bekas lombong di Bestari Jaya mengandungi bahan kimia bahaya dan tidak selamat untuk digunakan.

Kerajaan Selangor telah menggunakan air dari bekas untuk menambah bekalan air mentah pada Mac tahun ini dan mendakwa ia telah diuji serta selamat untuk digunakan.

Santiago yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor bagaimanapun menjelaskan air yang kononnya selamat itu telah diuji untuk mengesan keracunan tikus dan bukan berdasarkan bahan kimia.

Dengan itu, beliau memohon kerajaan Selangor supaya mengemukakan ujian tahap keselamatan kepada awam atau bakal berdepan tindakan mahkamah.

“Ini merupakan permohonan terakhir saya kepada kerajaan Selangor, kerana ia melibatkan kepentingan ramai dan demi semangat ketelusan serta tadbir urus yang baik.

“Saya telah berulangkali menggesa kerajaan Selangor supaya mengemukakan keputusan ujian kepada awam, tetapi mereka tetap mengulangi ayat yang sama bahawa air telah diuji dan hasilnya negatif serta selamat digunakan.

“Jika mereka gagal melakukannya, saya tidak ada pilihan lain selain membawa perkara ini ke mahkamah,” tegasnya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Kampar Dr Ko Chung Sen, hari ini.

Beliau mengulangi, kajian oleh ahli akademik UM secara konsisten menunjukkan terdapat pencemaran di kolam bekas lombong itu.

“Analisis UM menunjukkan tahap kepekatan bahan kimia dalam kolam bekas lombong adalah melebihi tahap yang dibenarkan oleh Piawaian Kualiti Air Kebangsaan.

“Bahan kimia yang terkandung dalam kajian itu termasuk arsenik, kromium, tembaga, plumbum, zink dan timah. Air ini jika digunakan boleh membawa kanser, penyakit buah pinggang, gangguan neurotik, anemia, paru-paru, kencing manis dan sebagainya,” jelas Charles. -Roketkini.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud