ARTIKEL SEBELUM

17/06/14

Cina 'penceroboh': Kes diserah kepada AG

KUALA LUMPUR - Siasatan kes berhubung kenyataan Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman tentang kaum Cina telah selesai dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, Jabatan Peguam Negara yang akan menentukan sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah atau tidak.

"Siasatan terhadap kes ini telahpun selesai.. kita serahkan kepada Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis terima tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Abdullah disiasat bagi kenyataannya tentang kaum Cina yang didakwanya dibawa ke Tanah Melayu sebagai "penceroboh".

Pada majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hoon Soon, Pegawai Turus Mahkamah, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, R. Munusamy, 52, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Munusamy menggantikan Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang kini menjawat jawatan Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

Anak kelahiran Mentakab, Pahang itu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1982 dengan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau pernah berkhidmat di beberapa jabatan termasuk sebagai pegawai penyiasat di Melaka dan Negeri Sembilan dan pensyarah undang-undang selama tiga tahun di Maktab Cheras pada tahun 2006-2009.

Munusamy memberitahu pemberita dengan pelantikannya itu beliau berazam untuk mempertingkat kredibiliti IPD Sentul dalam menangani jenayah di kawasan tersebut.

"Saya akan meneliti kadar dan fakta kes di sini...sekiranya perlu pembaharuan, saya akan lakukan sebelum satu penyelesaian diambil," katanya.

Beliau berkahwin dengan Choo Chun Lin, 52, dan mempunyai seorang anak. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud