ARTIKEL SEBELUM

16/05/14

Selepas episod T'ganu, drama Sarawak peningkan Najib

 

KUCHING: Kecewa dengan pergolakan dalaman yang melanda parti masing-masing, beberapa wakil rakyat BN negeri ini mengambil keputusan nekad meninggalkan parti masing-masing bagi membentuk parti baru.

Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) itu diketuai bekas Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom yang disokong 10 wakil rakyat daripada dua parti komponen BN negeri iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Mawan berkata, kesebelasan wakil rakyat itu membuat keputusan meninggalkan parti masing-masing yang menghadapi masalah dalaman. Bagaimanapun mereka tetap setia kepada BN.

Adun Pakan itu mendakwa kumpulan mereka mengambil risiko kerana mungkin tidak diterima menyertai BN, bagaimanapun yakin kesepaduan mereka mampu "memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat".

Mawan yang juga Ahli Parlimen Saratok diiringi 10 wakil rakyat terbabit dalam satu sidang media sebaik berakhirnya sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

Antara wakil rakyat dari SPDP yang hadir ialah Adun Marudi, Datuk Sylvester Entri (Pembantu Menteri Kemudahan Awam); Adun Tasik Biru, Datuk Peter Nansian (Menteri Khidmat Masyarakat); Adun Bekenu, Rosey Yunus (Pembantu Menteri Pelajaran dan Pembangunan Keluarga); Adun Batu Danau, Paulus Ngumbang; dan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau.

Dari SUPP, ialah Menteri Kewangan Sarawak, Datuk Sri Wong Soon Koh yang juga Adun Bawang Assan; Pembantu Menteri Kesihatan Awam, Dr Jerip Susil (Adun Bengoh); Adun Opar, Ranum Mina; dan Adun Engkilili, Johnica Rayong.

Adun Pelagus, George ialah satu-satunya wakil rakyat SWP yang menyertai Teras.

Pengumuman yang dibuat Mawan menggoncang politik Sarawak yang tidak pernah sunyi daripada krisis kepimpinan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir menyifatkan langkah diambil 11 wakil rakyat BN itu sebagai "tidak pernah berlaku" dalam politik negeri.

Beliau bagaimanapun menyifatkan langkah itu sebagai penyelesaian sementara konflik dalaman yang melanda SPDP dan SUPP.

Beliau memberi amaran bahawa cubaan Teras untuk menyertai BN negeri akan mengocak kerajaan campuran di Sarawak dan menjejaskan survival BN dalam jangka panjang.

"Saya tidak rasa ianya baik bagi senario politik Sarawak. Ianya ubat yang tidak mujarab walaupun langkah paling praktikal untuk mengakhiri konflik dalaman parti-parti komponen BN negeri," kata Dr Jeniri kepada The Malay Mail Online.

SPDP kini hanya mempunyai seorang wakil dalam BN iaitu Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing manakala SUPP masih kekal dengan tiga wakil iaitu Adun Senadin, Datuk Lee Kim Shin; Adun Simanggang, Datuk Francis Harden dan Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang juga Presiden Parti Pesaka Bersatu (PBB)enggan memberi sebarang komen ketika ditanya pemberita.
"Biar orang lain komen dulu, saya akan beri komen akhir," katanya.

PBB menguasai 35 daripada 71 kerusi Dun Sarawak.

Krisis terbaru BN Sarawak ini pastinya memeningkan kepala Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Ianya berlaku selang dua hari daripada drama yang melanda BN Terengganu ekoran pertukaran mengejut Menteri Besar negeri itu.

Walaupun pemberontakan bekas Menteri Besar yang juga Adun Ajil, Datuk Seri Ahmad Said dan dua pengikutnya dapat diatasi dalam tempoh 24 jam, krisis politik BN yang berlaku di Sarawak akan mengambil tempoh yang lebih panjang.

Najib selaku Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mulai Sabtu atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.

Beliau seperti biasa akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, semasa lawatan di sana, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai.

Najib juga dijadual bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed, yang juga Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE.

Lawatan rasmi Najib itu pasti dapat melegakan fikirannya daripada memikirkan pergolakan dalaman politik BN yang semacam tidak reda-reda.

Bagaimanapun konflik politik Sarawak itu akan menyemakkan benak fikiran beliau sekembalinya ke tanah air Selasa depan. Sudah adakah formula penyelesainya? - HARAKAHDAILY,

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud