Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Rahim telah diminta mengemukakan laporan mengenai insiden sekumpulan lelaki merempuh masuk pagar utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata insiden itu adalah susulan kecaman Anggota DUN Seri Delima R.S.N Rayer yang mengatakan "Umno Celaka" pada persidangan DUN itu.
Beliau berkata perbuatan Rayer adalah amat kurang ajar dan merupakan penghinaan kepada parti itu.
Namun, sekumpulan lelaki yang terdiri daripada anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepatutnya hanya membuat bantahan di luar pagar DUN dan tidak perlu memasuki dewan, katanya kepada pemberita di Teluk Intan, hari ini.
Terdahulu, beliau membuat tinjauan mesra bersama-sama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong, di tapak penjaja di Dataran Menara Condong di Teluk Intan, malam tadi.
Rayer mengeluarkan perkataan itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.
Kumpulan berkenaan yang diketuai Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Jasmin Noordin kemudian memasuki dewan persidangan tetapi gagal menemui Rayer yang tidak hadir pada sesi petang persidangan.
Mereka mahu Rayer meminta maaf berhubung kenyataannnya semalam.
Persidangan DUN terhenti lebih satu jam berikutan insiden itu dan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid bersama sepasukan anggota polis menenangkan anggota kumpulan itu serta mengarahkan mereka beredar dari situ.
Setakat 5.45 petang tadi, polis menahan 12 orang yang dikenal pasti masuk ke d alam dewan persidangan untuk direkod keterangan dan disiasat.
- Bernama