ARTIKEL SEBELUM

13/05/14

Krisis Umno T’ganu: Kerajaan BN negeri di hujung tanduk

 

Surat keluar parti ADUN Ajil, Ghazali Taib yang diemailkan kepada AstroAWANI.


KUALA LUMPUR: Hanya beberapa jam selepas majlis mengangkat sumpah Menteri Besar baru Terengganu, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar Umno.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta.

Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat yang diemelkan kepada AstroAWANI lewat malam tadi.

Langkah Ahmad Said dituruti seorang lagi Adun Umno, Ghazali Taib. Surat perletakan jawatan Adun Ajil itu dari semua jawatan parti dan seterusnya keluar Umno dialamatkan kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan turut diemelkan kepada AstroAWANI.

Salinan surat Ahmad dan Ghazali turut ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin bagi membuka ruang kepada Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar baru.

Ahmad Razif mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.

Dengan perkembangan terbaru ini, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu dengan PAS menguasai 14 kerusi dan PKR (1).

Baki dua lagi kerusi disandang Ahmad dan Ghazali yang mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber memaklumkan Adun Kemasik dan Adun Bukit Besi juga gagal dihubungi mengakibatkan desas desus bertiup kencang bahawa mereka juga mungkin mengikuti jejak Ahmad dan Ghazali.

Perkembangan terbaru ini meletakkan kerajaan BN negeri seperti di hujung tanduk.

Jika dua Adun Bebas Terengganu ini menjadi ‘mesra Pakatan Rakyat’, besar kemungkinan episod yang berlaku di Perak pada Februari 2009 berulang di Terengganu.

Dengan kes duluan yang berlaku di Perak yang mengakibatkan kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri apabila dua Adun PKR dan satu Adun DAP menjadi ‘mesra BN’, apakah kita akan melihat perubahan kerajaan negeri dalam masa terdekat?

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud