KOTA BHARU - Muryidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin halangan terhadap pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan akan berakhir sedikit demi sedikit tidak lama lagi.
Menurutnya, apabila ikhtiar manusia terhadap sesuatu perkara itu sampai pada kemuncak, ALLAH SWT akan memberikan jalan keluar untuk mendapatkan penyelesaian.
“Masalah hudud masalah terakhir, tak ada dah (selepas ini), hudud tetap berjalan tanpa ada halangan, Nabi Muhammad hidup tak ada perkara yang jadi halangan, ada sahaja jalan penyelesaian,” katanya ketika berucap sempena penutup Seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Nik Abdul Aziz berkata, situasi semasa jelas menggambarkan halangan dihadapi Pas Kelantan dalam usaha melaksanakan hudud berjaya diselesaikan walaupun tidak secara menyeluruh.
“Sekarang ramai dalam kalangan masyarakat Cina minat mengetahui hudud. Jika Umno tak mahu tak apa, tak boleh buat apa, halangan dari kanan, cari jalan ke kiri, sebaliknya,” katanya.