KEMAMAN: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said membayangkan hasrat untuk meninggalkan bidang politik apabila memutuskan tidak lagi bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Bercakap kepada Utusan Online Ahmad berkata, masih ramai yang boleh menjadi pengganti dan sudah cukup baginya berpolitik kerana telah mencapai kedudukan tertinggi di peringkat negeri dengan tanggungjawab sebagai menteri besar.
"Kalau boleh saya nak berhenti sekarang tapi tak bolehlah dengan keadaan politik (Terengganu) sekarang," ujar beliau dengan harapan dapat memberi tumpuan lebih masa bersama keluarga.
Dengan peralihan kepemimpinan negeri, menurut Ahmad, beliau tidak akan berada dalam barisan Exco negeri manakala jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno sudah dilepaskan.
"Juga mengenai Pengerusi Umno negeri, itu automatik. Tak ada dah. Tapi terpulang pada Perdana Menteri putuskan (siapa)," katanya kepada pemberita semalam.
Beliau ditemui selepas mengiringi kepulangan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri majlis kenduri kesyukuran perkahwinan anaknya di kediamannya di Teluk Kalong dekat sini.
Katanya, keputusan yang diambil bukan disebabkan rasa kecewa ekoran pergolakan yang tercetus semasa proses peralihan kepemimpinan negeri berjalan.
Ahmad memberi peringatan bahawa politik di negeri itu sememangnya dalam keadaan 'rapuh' dengan kedudukan 17-15 dan apa-apa boleh berlaku dalam tempoh empat tahun lagi yang menuntut perhatian serius diberikan bagi Umno dan BN mengekalkan kuasa.
Ahmad mencetuskan kegemparan Selasa lalu apabila mengisytiharkan diri keluar dari Umno ekoran dipaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.
Beliau dan dua lagi Adun BN menarik balik surat pemakluman keluar Umno setelah rundingan diadakan.- HARAKAHDAILY