Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang hari ini memberi amaran kepada tiga Exco kerajaan negeri kerana gagal menghadirkan diri pada sesi penggulungan persidangan Dun di sini semalam dan tindakan mereka dianggap sebagai satu penghinaan kepada dewan.
Exco berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri 1, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan dan Perhubungan Masyarakat Datuk Abdul Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malek Abul Kassim.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin juga turut tidak hadir semalam.
"Mereka harus menghormati kedaulatan dan kemulian dewan yang menjadi cabang perundangan, memang tiada peraturan yang meminta mereka memaklumkan kepada Setiausaha Dewan jika ingin bercuti, tetapi mereka perlu menunjukkan rasa hormat mereka kepada dewan," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.
Katanya, beliau tidak perlu mengajar dan memberitahu kepada setiap anggota dewan mengenai kepentingan untuk berada di mesyuarat ketika sesi penggulungan diadakan.
"Jika dahulu kita marah jika menteri tiada dalam dewan (Parlimen) untuk menjawab soalan, sekarang kita mesti melakukan perkara yang sama," katanya.
Beliau yang juga Adun Bukit Tambun berharap perkara serupa tidak akan berulang pada masa akan datang.
"Saya perlu menegur sikap itu kerana jika tidak, saya yakin perkara yang sama akan berulang dalam sesi persidangan yang akan datang," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengakui beliau terlepas pandang berkenaan kelulusan diberikan kepada tiga Exco yang keluar negeri ketika sesi persidangan Dun.
"Semasa kelulusan dibuat, saya tidak perasan ia berada di tengah-tengah tarikh sidang Dun, tetapi Exco perlu memastikan mereka berada ketika sesi persidangan.
"Saya juga berasa kurang senang dengan kejadian ini, dan ia pertama kali terjadi malah saya akan menasihatkan Exco supaya jangan pergi ke luar negeri masa Dun bersidang," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid berkata, ketiadaan tiga Exco Melayu dan beragama Islam itu menyebabkan banyak soalan mengenai isu agama dan orang Islam di negeri tidak dapat dijawab secara menyeluruh.
Beliau yang juga Adun Teluk Air Tawar melahirkan kekesalan apabila persoalan mengenai hal ehwal agama Islam yang dibangkitkan sewaktu perbahasan semalam terpaksa dijawab oleh Exco bukan Islam.
"Sidang Dun telah dijadualkan lebih awal dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku," katanya. - Bernama