GUA MUSANG: “Saya berasa tenang dan sejuk sekali dalam hati ketika dikunjungi pemimpin-pemimpin PAS semasa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.
“Ada yang datang membawa air tawar dan tidak ketinggalan mereka mendoakan saya sepanjang 11 hari dirawat di sana,” kata Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah ketika dikunjungi anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi di rumahnya di Chiku 3 petang semalam.
Hadir sama pada kunjungan itu Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Ustaz Azman Ahmad, Penyelia Dun Galas, Ustaz Abdullah Husain dan Penyelia Dun Paloh, Noraini Hussin.
Nozula bersama keluarganya terbabit dalam kemalangan di Km 23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada 17 April lalu ketika dalam perjalanan ke Perak.
Kemalangan itu menyebabkan isterinya, Datin Maziah Din meninggal di tempat kejadian, manakala Adun Paloh mengalami kecederaan serius pada dada, paru-paru dan tujuh tulang rusuknya patah.
Nozula yang kini sudah mampu berjalan namun masih mengadu sakit di bahagian dada memberitahu semasa dirawat di Ipoh, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan wakil-wakil rakyat PAS menziarahinya.
Dan paling ramai pemimpin PAS Perak termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
“Ketika Tengku Razaleigh Hamzah datang melawat saya di sana, saya sebut kepadanya, kita mungkin tidak lama lagi dapat berkawan kerana ramai pemimpin PAS datang menziarahi dan mendoakan saya.
“Mungkin saya juga boleh bersama mereka,” katanya sambil berseloroh diikuti ketawa rombongan Che Abdullah yang menziarahinya.
Nozula juga memberitahu tiga minggu sebelum kejadian, isterinya beriya-iya benar mahu menukar perabot dan cat di bahagian dalam rumahnya kepada warga putih.
“Segala kusyen, dinding rumah dan perabot ditukar kepada warna putih. Pada suatu malam dia menunggu sehingga jam 1 pagi melihat pekerja sedang mengecat rumah.
“Saya tanya mengapa tidak tidur lagi, dia kata mahu tengok orang mengecat rumah,” kata Adun Paloh.
Suasana putih jelas kelihatan di bahagia dalam rumahnya. Hampir kesemua ruang termasuk perabot dan perhiasan dalaman juga kelihatan putih.
Pada kunjungan itu Che Abdullah turut menghulur sumbangan atas simpati kematian isterinya. - HD