ARTIKEL SEBELUM

26/04/14

Siapa berani tekan Obama jangan jumpa Anwar?

 

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ditekan supaya tidak berjumpa Ketua Pembangkang itu ketika melawat Malaysia.

"Siapa boleh tekan Barack Obama? Obama itu presiden kuasa besar. Kita ini hanya negara kecil," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Najib berkata demikian bagi menjawab dakwaan Anwar yang percaya Obama menghadapi tekanan supaya tidak bertemunya semasa melawat negara ini mulai esok.

Kepada soalan sama ada beliau (Najib) akan membincangkan isu Anwar memburukkan negara dan kepimpinan Najib di luar negara, ketika bertemu dengan Obama, Najib berkata:

"Tak tahu. Kita tengok dululah. Saya (akan) beritahu lepas saya jumpa Obama.

Najib berkata kerajaan akan memastikan tahap keselamatan sepenuhnya sempena lawatan kerja rasmi selama tiga hari Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di sini bermula esok.

"Insya-ALLAH semuanya akan selamat. Saya akan pastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Ditanya cadangan muzakarah Pas dan Umno berhubung isu hukum hudud oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Najib berkata:

"Kita nak tahu apa cadangan Pas. Kita belum tahu (perkara) sebenar apa cadangan Pas. Kalau Pas nak mengemukakan kepada kita, kita sedia terima dan tengok apa yang Pas nak cadangkan," katanya. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud