Sukar untuk mengikut jejak mendiang Karpal Singh, dan tidak ada sesiapa yang mengenalinya lebih baik daripada anaknya, terutama anak lelaki ketiga, Ramkarpal yang kini sanggup bertanding di Parlimen Bukit Gelugor jika kepimpinan tertinggi DAP menawarkan kerusi itu kepadanya.
“Tanpa ragu-ragu, saya suka untuk meneruskan apa yang bapa saya tinggalkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Peguam berusia 38 tahun itu yang bertugas bersama Karpal selama ini berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi menyatakan mendiang bapanya mencadangkan namanya untuk kerusi berkenaan jika apa-apa berlaku kepadanya.Ramkarpal, bagaimanapun, berkata beliau tidak tahu bapanya mahu beliau menggantikan tempatnya tetapi pengundi kawasan itu tentu mahu pengaruh dan agenda Karpal diteruskan di situ.
Walau apa pun, katanya, beliau menyerahkan kepada DAP Pulau Pinang dan jawatankuasa eksekutif pusat untuk membuat keputusan akhir.
Beliau berkata, Bukit Gelugor, yang sebelum ini sebahagian daripada kerusi Parlimen Jelutong, mempunyai nilai sentimental kepada keluarganya.
“Bapa saya memegang kerusi itu dari 1978 kecuali di antara 1999 dan 2004 apabila beliau tewas,” katanya.
Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yew, berkata beliau tidak tahu jika Karpal ada membuat sebarang cadangan atau sokongan mengenai siapa yang mengambil alih kerusinya jika berlaku sesuatu kepadanya.
Ini termasuk kemungkinan Karpal hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas didapati bersalah atas tuduhan hasutan.
Chow berkata, setakat ini masih belum ada senarai nama calon yang berpotensi untuk kerusi yang dipegang Karpal sejak pilihan raya umum 2004 itu.
Beliau juga tidak dapat mengesahkan laporan yang menyatakan anak lelaki ketiga Karpal, Ramkarpal kini adalah pilihan ramai untuk kerusi berkenaan.
Awal minggu ini, laporan Malaysiakini memetik penulis dari New Zealnad, Tim Donoghue, yang menulis biografi Karpal Singh: Tiger of Jelutong, sebagai berkata Karpal ada memberi petunjuk yang beliau mahu Ramkarpal menggantikannya.
Donoghue berkata, Karpal ada memberitahu pelan kejayaan kepadanya apabila peguam veteran dan ahli politik berdepan dengan kes hasutan kerana mempertikaikan tindakan Sultan Perak menyingkirkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak pada Februari 2009.
Jawatankuasa eksekutif pusat DAP dijadualkan untuk bermesyuarat esok susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gelugor pada 12 Mei dan hari mengundi ialah pada 25 Mei.
Karpal meninggal dunia dalam nahas jalan raya seminggu lalu di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kampar, Perak ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang.
Turut maut dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius. Ramkarpal yang turut berada dalam kenderaan itu bersama bapanya, terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
Kematian Karpal meninggalkan kerusi itu, kubu kuat DAP, kosong. Pada pilihan raya umum tahun lalu, Karpal menang dengan undi majority 41,778 menentang calon MCA, The Beng Yeam.
Menurut maklumat dalaman Barisan Nasional, ada pihak dalam gabungan itu berpendapat MCA tidak patut mengisi kekosongan itu sebagai calon dalam pilihan raya kecil berkenaan kerana peluang untuk menang sangat tipis.\ TMI