ARTIKEL SEBELUM

17/04/14

Pertemuan terakhir saya dengan Karpal Singh

Anak mendiang Karpal Singh, Gobind Singh Deo menjawab soalan media yang turut berkumpul di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 17 April, 2014.


Saya bertemu dengan Karpal Singh di pejabatnya di Jalan Pudu, Kuala Lumpur kira-kira jam 7 malam semalam dan meluangkan masa kira-kira 45 minit bersamanya.



Beliau sebelum itu menelefon saya minta saya datang untuk mengambil salinan keputusan mahkamah mengenai satu kes penting.



Beliau minta saya datang secepat mungkin kerana beliau perlu ke Pulau Pinang untuk membela seorang anak guam dalam perbicaraan kes bunuh di mahkamah di Pulau Pinang awal pagi ini.Karpal biasanya akan memaklumkan saya mengenai kes di mahkamah. Beliau adalah salah seorang kenalan rapat saya mengenai perkara undang-undang. Menerusinya, saya memperolehi beberapa berita eksklusif.



Pembantu peribadi Karpal, Micheal Cornelius turut berada di pintu masuk pejabat ketika saya tiba.



Biasanya menerusi mendiang Michael saya dapat bercakap dengan Karpal melalui telefon bimbit kerana peguam itu lumpuh susulan kemalangan jalan raya pada 2005.



Ketika saya masuk ke dalam pejabat itu, Karpal kelihatan sedang sibuk memberi arahan kepada pembantu undang-undangnya, Zaleha al-Hayat kerana beliau menjangka akan berada di Pulau Pinang hingga Selasa depan.



Karpal nampak bersemangat dan sempat berlawak.



Seperti biasa, selepas mengambil dokumen mahkamah, kami berbual mengenai kehakiman dan apa yang berlaku dalam politik negara.



Beliau menyatakan sudah melihat dan melalui zaman terbaik dalam negara kesayangan kita ini. Tetapi beliau bimbang memikirkan apa yang bakal dilalui generasi muda.



Karpal kemudian menerima panggilan menyatakan anak lelakinya, Gobind Singh Deo dimasukkan ke Hospital Pantai. Beliau beritahu akan singgah di hospital sebelum bertolak ke Pulau Pinang.



Saya juga ada memberitahunya saya berhasrat menulis berita mengenai mahkamah koroner dan memerlukan ulasannya kerana beliau sudah banyak kali menjadi peguam dalam inkuiri kes kematian.



Beliau minta saya menghubunginya pada waktu tengah hari, hari ini.



Kami berdua meninggalkan pejabatnya bersama-sama dan merancang untuk bertemu lagi minggu depan.



Toyota Alphard milik mendiang Karpal Singh dengan nombor pendaftaran KS9898 diletakkan di Balai Polis Gopeng, Perak. Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang juga veteran DAP itu terbunuh ketika kenderaan yang dinaikinya itu berlanggar dengan lori 5 tan berhampiran Gua Tempurng di Lebuhraya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang, awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 17 April, 2014.


Pada kira-kira jam 3.30 pagi, isteri saya mengejutkan saya dari tidur dan memberitahu Karpal meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.



Untuk seketika saya sangka saya bermimpi dan tidak percaya kerana saya baru sahaja bertemu dengannya, beberapa jam sebelum itu. Saya periksa telefon bimbit dan mendapati ada beberapa mesej mengenai kemalangan itu.



Saya mengenali Karpal sejak 1986 iaitu ketika menjadi wartawan di Seremban.



Persahabatan kami berkembang dan beliau selalu menghubungi saya jika ada kes yang menarik di mahkamah, walaupun selepas saya berpindah kerja di Ipoh.



Sebagai ahli politik dan peguam berpengalaman, beliau tahu kes yang menarik dan boleh dijadikan bahan berita, malah sering memaklumkan saya mengenai perkara terbaru.



Sepanjang 10 tahun lalu, terutamanya sejak saya kembali bekerja di Kuala Lumpur, saya lebih kerap berhubung dengan Karpal kerana sering membuat liputan kes mahkamah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.



Saya adalah antara yang berpeluang kenal rapat dengan Karpal dan ada beberapa kali memberi maklumat kepada saya, tidak kepada semua orang.



Selain mendengar kisah zaman mudanya di Singapura sebagai pelajar dadn kemudian permulaan karier guamannya, topik perbincangan kami biasanya memfokuskan kepada kehakiman dan politik.



Saya selalu berpendapat Karpal adalah seorang yang berterus-terang dalam mengeluarkan pendapat. Beliau juga sering sesekali berlawak ketika kami berbual.



Mengenai sabitan yang dikenakan kepadanya bulan lalu atas kesalahan hasutan, Karpal berkata, beliau tidak kesal dengan kenyataannya kerana beliau percaya kepada “bebas membuat ucapan yang bertanggungjawab”.



Selamat tinggal Karpal Singh. Saya akan merindui anda. Semoga roh anda tenang di sana. - TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud