ARTIKEL SEBELUM

9/04/14

PAC: Jangan hanya panggil tapi tiada tindakan

 

Hasrat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil lima kementerian berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2013 janganlah sekadar satu formaliti sahaja, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin.

"Rakyat tidak mahu lagi ulang tayang apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini di mana tindakan PAC memanggil pihak-pihak yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara nampak sangat sekadar untuk melengkapkan siri tindakan formal sahaja dan selepas itu tidak kedengaran sebarang tindakan," katanya.

Semalam Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil lima kementerian untuk memberikan penjelasan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, kelima-lima kementerian berkenaan adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan.

Salahuddin berkata, ramai yang masih ingat pengakuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihaknya hanya mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah ekoran pelbagai kes yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

"Susah hendak dibayangkan apa tindakan berkesan yang mampu dibuat oleh PAC kalau SPRM pun hanya dapat mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah sedangkan kerugian negara yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dahulu bernilai puluhan bilion ringgit," katanya.

Begitu juga, kata Salahuddin, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta menteri-menteri yang diperlihatkan gagal dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 meletak jawatan.

"Di Jepun bila kapal terbang terhempas di landasan, menteri pengangkutan meletakkan jawatan. Di Malaysia jika kemalangan kapal terbang, itu bukan masalah saya.

"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan," Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Salahuddin menambah, bukan sahaja tidak berlaku sebarang perletakan jawatan seperti diharapkan Dr Mahathir, malah tindakan yang diambil berikutan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu amat mengecewakan rakyat.

Ketika menyatakan hasratnya untuk memanggil lima kementerian itu, Pengerusi PAC berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu dipanggil berhubung kelewatan Empangan Paya Peda di Besut, sementara Kementerian Pendidikan perlu memberikan penjelasan mengenai pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang didapati tidak mengikut spesifikasi mengakibatkannya gagal mendapat sijil layak menduduki (CF).

"Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan isu perolehan serta penyimpanan rekod aset dan pengurusan program pembelian makanan manakala KDN akan diminta memberi penjelasan berhubung isu pengurusan Rela dan peralatan untuk Rela khususnya sepatu anggota," katanya.

Nur Jazlan berkata demikian dalam sidang media pembentangan Laporan Ketua Audit 2013 Siri 1 selepas bermesyuarat dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen semalam.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan mengenai dana penyelidikan asas untuk hasilkan teori, konsep dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan dibelanjakan namun tidak ada kajian yang dihasilkan.

Tambah Nur Jazlan selain kelima-lima kementerian berkenaan, PAC akan turut memanggil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika waktu mengizinkan.

"Kementerian Sumber Manusia perlu memberikan penjelasan mengenai pusat latihan belia sementara Kementerian Pertahanan perlu menjelaskan isu pengurusan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

"Biarpun KWSP mempunyai prestasi yang baik, jumlah pelaburan antarabangsanya adalah besar dan bertambah dari tahun ke tahun. PAC perlu penjelasan daripada KWSP mengenai perancangan dan langkah-langkah kurangkan risiko dalam pelaburan antarabangsa," jelas beliau.

Mengenai hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 1, 2 dan 3 yang dibentangkan tahun lepas, Nur Jazlan berkata 71 peratus audit melibatkan penambahbaikan peraturan dan prosedur proses kerja sementara 29 peratus daripada audit melibatkan salah guna kuasa dan salah laku serta kecuaian dalam pelaksanaan tugas.

Jelas beliau, daripada 29 peratus kes punitif, sebanyak 121 kes dibawa untuk tindakan dengan 92 kes sudah selesai dan 29 kes belum selesai.

"Daripada 92 kes yang selesai,26 kes melibatkan prosiding tatatertib dikenakan ke atas pegawai sementara 53 kes tidak ada unsur 3P (pemantauan penyampaian perkhidmatan)," kata Nur Jazlan.

Mereka yang diambil tindakan melibatkan 152 orang dengan 76 orang dijatuhkan hukuman, seorang dibuang kerja, 41 dikenakan surcaj, dua didenda, 32 diberi amaran dan 76 lagi masih dalam prosiding tatatertib, katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud