ARTIKEL SEBELUM

4/04/14

KJ kenategurdenga exco Selangor

Ahmad Yunus Hairi 

SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diselar kerana mengeluarkan kenyataan yang menyalahkan kerajaan negeri Selangor meminggirkan usaha penambahbaikan kemudahan sukan khususnya stadium hoki di negeri itu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, usaha memulihkan Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stadium Hoki Pandamaran, Klang sudahpun dilakukan.

Dakwa beliau, Khairy membuat kenyataan tanpa mendapatkan penjelasan daripada pihak yang sewajarnya.

“Saya ingin mengingatkan kepada Khairy supaya tidak mengambil maklumat daripada ‘sembang gebang kedai kopi’ ataupun daripada ‘hiruk pikuk pasar borong’ dan kemudian terus menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor amat mengambil serius terhadap pembaikan kedua-dua buah stadium hoki itu dan kini di peringkat akhir semakan kertas kerja yang akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau yang menegur Kerajaan Negeri Selangor supaya mengambil perhatian terhadap masalah stadium hoki di negeri itu.

Ia susulan teguran beberapa pihak berkepentingan yang membangkitkan stadium hoki Pandamaran yang diisytiharkan tidak selamat oleh Persatuan Hoki Selangor pada 2010.

Manakala Stadium Hoki Petaling Jaya pula dilaporkan tidak berupaya untuk menganjurkan sebarang pertandingan dan tidak dibaik pulih sejak lebih 11 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan terhadap pengunjung stadium yang menjadi mercu tanda negeri itu.

Katanya, walaupun Stadium Shah Alam yang berusia 20 tahun itu sudah dilakukan penambahbaikan kerana kerap digunakan untuk pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa, namun stadium sukan lain tidak dianaktirikan.

“Ada pusat latihan dan stadium yang perlu kepada proses yang disegerakan dan ada yang dilewatkan.

“Menteri sepatutnya berbangga pasukan Hoki Selangor masih boleh menjuarai Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun walaupun mempunyai masalah tempat untuk menjalani latihan,” katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud