ARTIKEL SEBELUM

2/04/14

Hudud: Asyraf hanya bermain politik

SAYA tertarik untuk mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa PAS agar membentangkan draf undang-undang hudud di Parlimen jika benar-benar mahu menyaksikan satu perubahan besar dalam pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Kerajaan Pusat bersedia untuk memberikan laluan pelaksanaan hudud dan memberikan syarat agar ia dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Saya melihat kenyataan Asyraf hanyalah bermotif politik semata-mata dan berhasrat untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Beliau sedar bahawa PAS hanya mempunyai 21 kerusi parlimen sahaja di Dewan Rakyat.

Menggesa PAS untuk membawa deraf hudud ke Parlimen membuktikan Asyraf hanya bermain politik dan tidak ikhlas dalam isu ini. Sedarkah beliau bahawa seseorang ahli parlimen bukan kerajaan yang ingin membawa rang undang-undang persendirian (private bill) perlu memohon izin selama sebulan sebelum tarikh pembentangan dan empat belas hari untuk usul.

Ia berbeza dengan Menteri yang hanya memerlukan sehari sahaja untuk proses memohon keizinan membentangkan rang undang-undang. Ini jelas menunjukkan bahawa Umno selaku parti tunjang kerajaan lebih berkuasa untuk membentangkan deraf undang-undang hudud atau sekurang-kurangnya pindaan perlembagaan bagi membolehkan kuasa mahkamah syariah di negeri-negeri diperluaskan.

kurang nilai Islam

Adakah ahli Majlis Tertinggi Umno ini mengakui bahawa Umno 'kurang nilai Islamnya' berbanding PAS sehingga walaupun mempunyai kerusi parlimen empat kali ganda melebihi PAS, Umno mewakilkan kepada PAS untuk membawa deraf hudud ke parlimen?

Adakah hudud hanya menjadi kewajipan PAS sahaja dan tidak Umno? Bukankah Umno juga parti yang dianggotai orang Islam?

Tahukah Asyraf bahawa pada 25 Mac 1988, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (sekarang Presiden PAS) pernah mengemukakan usul membincangkan gejala murtad di Parlimen, tetapi usul itu ditolak daripada dibincang.

Selepas itu, sekali lagi pada 2 November 1999, beliau juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

Pada Mac 2006 pula, Salahuddin Ayub (pada masa itu Ahli Parlimen Kubang Kerian) mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad. Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah.

Justeru, apa jaminan apabila PAS mengemukakan rang undang-undang hudud, ia tidak akan ditolak? Dan tidakkah lebih terjamin sekiranya ia dikemukakan oleh pihak yang berkuasa sekarang, iaitu Umno?

Kanun Jenayah Syariah (II) 1993

Dalam masa yang sama, saya juga ingin mengulangi gesaan kepada kerajaan negeri Kelantan agar mempercepatkan pewartaan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) yang telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993. Pewartaan ini sangat penting sebagai menandakan langkah ke depan di dalam pelaksanaan hudud.

Saya sangat yakin komitmen yang tidak berbelah bahagi Kerajaan Kelantan di dalam pelaksanaan undang-undang ini. Justeru, ahli-ahli parlimen PAS juga khususnya perlu digerakkan untuk membawa sekurang-kurangnya satu usul pindaan perlembagaan secepat mungkin bagi memberikan laluan ke arah pelaksanaan undang-undang ini khususnya di Kelantan.

Sesungguhnya langkah seribu bermula dengan langkah pertama. Namun, bagaimana mahu melangkah seribu jika berhenti selepas beberapa tapak melangkah?
__________________
Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud