Penasihat ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan kerajaan negeri menghentikan dahulu catuan air yang sedang dilaksanakan.
“Walaupun jumlah ini belum mencecah paras 42% takungan seperti yang diumumkan sebelum ini, saya menyarankan Kerajaan Selangor menghentikan dahulu catuan air yang sedang dilaksanakan mengambil kira paras takungan di empangan-empangan lain yang tinggi.
“Ini memberi ruang kepada kerajaan Selangor dan pihak bertanggungjawab membuat unjuran semula menggunakan kadar penggunaan air yang lebih rendah bagi mengelakkan catuan yang berpanjangan di masa hadapan,” kata Anwar dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk di Lembah Klang menggunakan air secara berhemah dan mengurangkan penggunaan seperti membasuh kereta yang terlalu kerap, melaporkan paip pecah secepat mungkin dan lain-lain agar penggunaan air dapat dikawal.
Terdahulu, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memutuskan menarik balik catuan air yang dilaksanakan negeri itu ekoran masalah kekurangan bekalan.
Perkara itu diputuskan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang semalam.