ARTIKEL SEBELUM

24/03/14

Spekulasi bantu siasatan MH370, kata polis

Polis menyifatkan spekulasi yang menular di Internet boleh membantu siasatan dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

"Kami memantau semua spekulasi ini kerana kita merasakan sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini, beliau ditanya berhubung tindakan polis yang bakal diambil kepada penyebar spekulasi di media sosial.

"Namun jika sekadar spekulasi, pihak kami melihat belum cukup untuk kami mengambil tindakan melainkan mereka membuat fitnah," tambahnya.

Bagaimanapun, Khalid menasihatkan semua pihak agar bijak membezakan antara fakta dan spekulasi.

"Apa yang diberikan melalui pengumuman pihak kerajaan itu adalah fakta sebenar dan bukan spekulasi," katanya.

"Jadi apa juga yang ditulis oleh orang ramai dalam media sosial adalah berbentuk spekulasi kerana tidak disokong oleh fakta, maka ia tetap kekal spekulasi."

Diminta mengulas laporan media antarabangsa yang didakwa negatif dan bersikap double standard, Khalid berkata terdapat media luar sengaja memperkecil-kecilkan negara ini.

"Kita kena faham bahawa ada pihak asing yang dengki dengan (negara) kita. Mereka ini sengaja mahu memperlekehkan kita. Malangnya ada kalangan masyarakat kita begitu cepat percaya dengan berita asing," katanya.

"Walhal akhbar kita yang patut lebih tahu kerana kita memberikan berita sebenar tetapi mereka (rakyat) tidak mahu dengar."

Ketua polis negara juga mendakwa ada cubaan media asing untuk melaga-lagakan negara ini dengan pihak-pihak tertentu, termasuk China.

Pada hari kejadian itu, seramai 153 penumpang China, daripada 239 orang termasuk 12 anak kapal, berada dalam pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud