Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) meragui komitmen Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu melancarkan kempen serangan peribadi ke atasnya sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang akan bermula secara rasmi pada 11 Mac.
Calon Pakatan Rakyat (PR) untuk PRK Kajang itu berkata, meskipun Muhyiddin melahirkan komitmen sedemikian, namun serangan yang dilancarkan menerusi media arus perdana tidak pernah berhenti.
“Saya hormati kenyataan Muhyiddin yang mahu berkempen secara 'gentleman' tetapi dalam televisyen (maki hamun) tidak berhenti. Sebab itu saya katakan nama saya Anwar Ibrahim, bintang utama RTM dan TV3.
“Sekarang saya dengar sampai (Datin Seri) Rosmah juga marah. Asyik Anwar sahaja keluar (televisyen), muka aku bila hendak keluar? Sampai begitu, terlalu banyaknya gambaran,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong dan penduduk setempat di Taman Puncak Saujana, Kajang malam tadi.
Semalam, Muhyiddin berkata Barisan Nasional (BN) menafikan melakukan serangan peribadi dalam kempen mereka dan akan bersifat lebih 'gentleman' menghadapi segala tuduhan yang dilemparkan daripada calon lawan.
Katanya, biarpun BN selepas ini akan dilihat lebih agresif dalam tempoh berkempen, namun akan mematuhi peraturan dan undang-undang pilihan raya kecil Suruhanjaya Pilihan Raya.
Beliau berkata, BN akan menumpukan kepada isu nasional dan semasa dalam kempen yang akan digerakkan selepas hari penamaan 11 Mac ini.
Bagaimanapun, Anwar mengingatkan dalam sesebuah kempen politik, maki dan cerca kepada pihak lawan adalah sesuatu yang tidak diperlukan sebaliknya ditunjangi dengan aspirasi untuk melakukan perubahan.
“Politik tidak perlu maki orang. Cerita apa hendak dibuat,” katanya.
Ketua Umum PKR itu menyifatkan pertandingannya bagi merebut kerusi DUN Kajang bukan satu jalan yang mudah apabila terpaksa berdepan dengan tohmahan pihak tertentu daripada pihak lawan.
Katanya, sehinggakan orang yang berkepentingan dalam agama sendiri sanggup mengeluarkan perintah larangan menyokongnya dalam PRK kali ini.
“Sampai ada fatwa haram undi Anwar. Berapa ringgit dia dapat tidak tahulah. Ada yang berkata undi Anwar, bencana dan malapetaka bagi Malaysia. Lagi tinggi harga, lagi kuat serangannya,” katanya. – TMI
“