ARTIKEL SEBELUM

20/03/14

Pakar IT India temui imej satelit mungkin MH370

Seorang penganalisis IT India menemui imej satelit menunjukkan sebuah pesawat besar terbang rendah di Kepulauan Andaman pada 8 Mac, pada hari pesawat Malaysia Airlines hilang semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing, menurut akhbar The Hindu.

Anoop Madhav Yeggina, 29, percaya imej itu ialah pesawat Boeing 777-200ER MAS yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370, lapor akhbar itu.



Pakar IT itu ialah antara beribu-ribu orang dari seluruh dunia yang melibatkan diri dalam projek 'crowdsourcing' iaitu khidmat luar kumpulan yang berusaha mengesan kapal terbang berkenaan yang telah melencong dari laluannya ke arah Lautan Hindi selepas menutup semua hubungan komunikasi ketika terbang merentasi Laut China Selatan.

Khidmat luar kumpulan ini merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat atau input bagi sesuatu tugas atau projek dengan menyenaraikan perkhidmatan sejumlah individu, sama ada dibayar atau tidak, biasanya melalui Internet.

The Hindu melaporkan bahawa Anoop telah meneliti sejumlah imej dari DigitalGlobe Satellite QB02 sejak beberapa hari lalu sehingga beliau terjumpa imej yang benar-benar membuatkannya terkejut.

Beliau memuat naik 'penemuannya' bersama penulisan yang menjelaskan perkara itu kepada laman web CNN pada 14 Mac dan sejak itu ia menerima lebih 16,000 pengunjung yang melihatnya dan komen daripada mereka.

“Saya yakin imej itu ialah pesawat yang hilang berkenaan atas pelbagai sebab. Satu daripada penunjuknya ialah imej itu dilihat hanya berada di atas sedikit daripada kawasan hutan dan begitu hampir dengan landasan kapal terbang Shibpur Kepulauan Andaman.

"Landasan kapal terbang itu digunakan secara eksklusif oleh angkatan tentera dan tidak memberikan kebenaran kepada pesawat awam berada di kawasan itu.

"Jika diamati secara teliti terhadap imej itu, akan menunjukkan ia terbang begitu rendah sehinggakan awan berada di atasnya, yang menunjukkan ia dilakukan untuk mengelak daripada dikesan radar.

"Yang paling penting ialah ukuran skala standard dan warna pesawat yang hilang itu berpadanan dengan imej kapal terbanag berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata demikian dalam laporan The Hindu itu.

Anoop mendoakan keselamatan penumpang dan merayu kepada mereka yang pakar dalam IT sesebuah pesawat supaya menyiasat lebih lanjut imej itu bagi mengesan kedudukan pesawat berkenaan, menurut laporan itu.

Bagaimanapun, Mapbox, sebuah syarikat yang menyediakan imej satelit untuk orang ramai membantu dalam pencarian MH370 itu telah menyangkal penemuan berkenaan dengan berkata ia berdasarkan data lama, menurut portal berita 3News New Zealand.

Ketua Saintis Mapbox Bruno Sánchez-Andrade Nuño mengesahkan dalam Twitter bahawa pesawat itu milik penjaga tapak liputan mereka, menurut 3News.

Itu hanya merupakan satu daripada pelbagai perkara mengelirukan yang ditimbulkan dan kemudian ditolak kebenarannya dalam misi mencari pesawat itu, beliau dipetik sebagai berkata demikian oleh 3News.

Tompokan minyak dan kononnya penemuan bahagian pesawat dalam gambar-gambar satelit telah terbukti semuanya penunjuk yang tidak benar, menurut portal berita itu.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud