Keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang berada di Hotel Everly, Putrajaya kini sedang mengadakan bacaan surah Yasin bagi memohon kepada Allah supaya operasi mencari dan menyelamat dipermudahkan.
Bapa kepada seorang penumpang pesawat berkenaan, Selamat Omar berkata, mereka akan setia menunggu pengumuman yang dibuat kerajaan dan bersedia dengan segala kemungkinan.
"Memang rasa sedih. Kita boleh bayangkan kedalaman Lautan Hindi menghampiri 7,000 meter. Ini maknanya hampir sama dengan tragedi Air France dahulu."Kami akan terus menunggu apa tindakan yang akan diambil. Kami tunggu sumber kerajaan yang paling utama," katanya ketika ditemui di lobi hotel, hari ini.
Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas mengesahkan pesawat MH370 mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi.
Kerja mencari dan menyelamat di Lautan Hindi pada ketika ini terpaksa dihentikan ekoran keadaan cuaca buruk.
Selamat berkata, meskipun diselubungi rasa sedih namun hidup harus diteruskan dan beliau menjangkakan perasaan keluarga penumpang hari ini akan lebih beremosi.
Beliau berkata, menantunya, Erni Khairul yang juga isteri kepada Khairul Amri, seorang jurutera penerbangan dalam pesawat MH370 akan mendapatkan khidmat kaunselor sekiranya berdepan dengan emosi tidak terkawal.
"Kehilangan suami tersayang tidak seperti hilang duit yang boleh diganti. Walaupun suami baru, dia tetap rasa kehilangan yang amat sangat.
"Hari tu (Erni) sudah stabil mungkin selepas ini kaunselor akan bantu jika bermasalah," katanya yang menjangkakan lebih ramai keluarga penumpang akan hadir ke hotel pada hari ini.
Beliau berkata, pihak yang terus membuat spekulasi tentang anaknya yang terlibat dalam rampasan pesawat berkenaan tidak boleh dihalang namun beliau sedia memberikan kerjasama jika diperlukan.
Katanya, meskipun wujud spekulasi sedemikian, pihak berkuasa masih belum mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.
"Kita tidak boleh halang orang hendak bercakap. Mereka bercakap apa sahaja. Pihak yang mengetahuinya hanya pihak berkuasa dan sedikit maklumat ahli keluarga.
"Pihak berkuasa masih belum datang hingga ke hari ini. Saya tidak akan menyembunyikan sebarang fakta yang dikehendaki pihak berkuasa," katanya.- TMI