ARTIKEL SEBELUM

26/03/14

Akhbar China desak Putrajaya usah sembunyi maklumat MH370

Keluarga penumpang MH370 warga China mendesak supaya bukti kukuh dikemukakan dan Malaysia tidak merahsiakan sebarang maklumat daripada umum. Gambar fail.

Ketika China menerima berita mengenai 154 warganya dipercayai maut apabila pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas di selatan Lautan Hindi, Putrajaya didesak supaya tidak menyembunyikan maklumat yang boleh memberikan jawapan kepada beberapa persoalan utama yang menyelubungi misteri kehilangan pesawat itu sejak lebih dua minggu lalu.

Lidah pengarah China Global Times berkata, Malaysia perlu mendedahkan semua maklumat kerana keraguan terhadap kehilangan pesawat itu akan hanya memusnahkan kredibilitinya.

“Malaysia perlu menggunakan semua pasukan untuk mengesahkan kedudukan tepat pesawat itu terhempas secepat mungkin, mengesan bangkai dan cari kotak hitam, dan mengesahkan sebab sebenar di sebalik kemalangan itu bersama masyarakat antarabangsa.“Tanpa semua itu, keraguan akan sentiasa ada mengenai takdir terakhir pesawat itu. Mendedahkan kebenaran kepada orang ramai adalah perkara utama Malaysia,” kata editorial itu.

Akhbar harian itu berkata, dengan 154 penumpang adalah warganegara China, negara itu mempunyai hak untuk menggesa kerajaan Malaysia memaklumkan kepada umum apa sebenarnya yang berlaku.

“Kita perlu tahu dengan jelas jika malapetaka ini disebabkan oleh anak kapal atau sama ada wujud paksaan di udara atau daratan.

“Kita harap kerajaan Malaysia tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat, di samping kebimbangan mengenai keselamatan negara dan politik dalaman,” kata editorial itu.

Apabila penyiasatan pesawat yang hilang itu bermula, tidak ramai rakyat China yang mengaitkannya dengan konspirasi yang mensasarkan China.

“Rakyat China selama ini melihat Malaysia sebagai rakan. China minta kebenaran.

“Harapnya, kerajaan China bersama negara-negara lain yang mempunyai keupayaan risikan, boleh membantu dan menggesa Malaysia untuk lebih telus dalam memberikan maklumat,” kata editorial itu.

Semalam, kira-kira 200 ahli keluarga pesawat MH370 dari China yang berduka lara berarak ke Kedutaan Malaysia di Beijing.

Mereka mendesak Malaysia Airlines dan Putrajaya menjelaskan apa yang berlaku. Ada yang menangis, berpimpinan tangan dan menjerit slogan termasuk, “Kerajaan Malaysia pembunuh” dan “Kami mahu saudara-mara kami semula”.

Ahli keluarga penumpang yang marah itu turut bertempur dengan polis di luar kedutaan.

China turut mendesak Putrajaya menyerahkan data satelit yang membawa kepada kesimpulan pesawat ke Beijing itu terhempas di laut dan tiada seorang pun daripada 239 penumpang selamat.

Cara Malaysia mengendalikan krisis itu dikritik oleh beberapa media antarabangsa dan pakar yang berkata, percanggahan kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa pada hari-hari awal kejadian itu dan kelewatan mendedahkan data tentera mungkin menjejaskan pencarian Boeing 777-200ER itu.

Putrajaya menghantar delegasi pemimpin tertinggi Malaysia ke Beijing untuk memberi taklimat kepada keluarga penumpang pada Isnin, susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai analisis data satelit daripada syarikat Britain, Inmarsat yang mendedahkan pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi.

Di sebalik pengumuman Najib, ramai keluarga yang akan hanya berhenti berharap jika bukti kukuh dikemukakan dalam bentuk bangkai pesawat atau kotak hitam ditemui.

Maka, editorial Global Times berkata:”Nahas udara ini adalah sesuatu yang jarang berlaku dan misteri, dan tidak patut direkodkan dalam sejarah sebagai perkara yang tidak berjaya diselesaikan, tetapi ia perlu menjadi pengajaran untuk masa depan.” – TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud