ARTIKEL SEBELUM

10/02/14

Pasti akan percuma jika Pas jadi kerajaan

SHAH ALAM - Tindakan Pas mengenakan sedikit bayaran bagi membiayai operasi pendidikan prasekolah anjurannya iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) tidak wajar dipertikaikan.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, walaupun Pas memperjuangkan pendidikan percuma kepada rakyat, namun ia hanya dapat dilaksanakan jika parti menjadi kerajaan kelak.

"Tadika sedia ada mendapat bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan.

"Pas bukan kerajaan seperti BN, tidak adil jika menyalahkan Pas kerana kami tidak mampu menampung kos perbelanjaan sekolah walaupun di peringkat tadika," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut serangan sebuah akaun Facebook pro-BN semalam yang mempertikaikan tindakan Pas mengenakan caj yang tinggi bagi mendapatkan pendidikan awal agama di tadika kelolaannya.

Mengulas lanjut, Suhaizan menegaskan bayaran yang dikenakan Pasti pada masa ini pada kadar minimum dan menyanggah dakwaan mengatakan Pas mengenakan bayaran yang melampau.

Bahkan katanya, yuran tersebut dikenakan kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Pasti akan digunakan untuk membiayai operasi tadika tersebut.

Tambahnya, Pasti juga tidak membuat keuntungan di sebalik yuran yang dikenakan itu.

"Sebab itu kita kenakan sedikit bayaran, itupun minimum sebenarnya, ada konsep kebajikan di situ untuk beri kepada rakyat.

"Rakyat bayar sikit untuk kita menjalankan operasi, bukan hendak dapatkan untung, kita hendak rolling sebenarnya dengan kos yang minimum," katanya.

Ditanya tentang keupayaan kewangan Pakatan Rakyat di Selangor untuk mewujudkan pendidikan percuma, beliau bagaimanapun berkata hal itu perlu diserahkan kepada menteri besar berdasarkan kemampuan dana yang dimilikinya negeri itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud