ARTIKEL SEBELUM

4/02/14

Isu pencalonan Anwar: Jangan heret pihak istana

Rafizi Ramli 

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengingatkan semua pihak agar tidak mengheret pihak istana Selangor dalam isu pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR untuk merebut kerusi Dun Kajang pada pilihan raya kecil kawasan tersebut akan datang.

Beliau menegaskan mana-mana pihak juga perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang cuba mengaitkan pihak istana akan cenderung kepada Pakatan Rakyat dalam membuat keputusan khususnya pelantikan jawatan menteri besar.

“Mana-mana pihak termasuk Prof Dr Chandra Muzaffar sendiri perlu berhati-hati, jangan beri gambaran seolah-olah istana itu berat sebelah dalam membuat keputusan atau cuba berteka-teki keputusan yang akan dibuat oleh istana.

“Sepanjang rekod pihak istana Selangor, Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan Allahyarham ayahanda Baginda sebelum itu mempunyai rekod demokratik berpelembagaan yang cukup baik,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (Just), Prof Dr Chandra Muzaffar semalam yang mendakwa Ketua Umum PKR itu mempunyai matlamat lain termasuk ‘mudah mendekatkan diri dengan sultan dan raja’ jika menjadi menteri besar Selangor.

Chandra juga mendakwa Anwar mahu menduduki jawatan itu bagi menonjolkan beliau sebagai menteri besar paling berkesan, berkebolehan dan lebih baik daripada tokoh sebelum ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Rafizi berkata integriti pihak istana tidak wajar dipersoalkan lagi kerana sepanjang rekod pentadbiran Baginda membuktikan sebanyak dua orang menteri besar telah ditukarkan ‘separuh jalan’ dan ia menunjukkan Sultan Selangor mematuhi kuasa dan kedudukan baginda dalam perlembagaan negeri.

“Saya rasa tidak baik mana-mana pihak membuat telahan bagaimana istana membuat keputusan, kerana ia melalui proses dan kuasa perlembagaan negeri dan PR juga akan menghormati proses tersebut,” katanya lagi.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud