ARTIKEL SEBELUM

13/02/14

Ini punca Indeks Kebebasan Media makin jatuh

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik pemberian permit penerbitan FZ Daily kepada The Edge Communications Sdn Bhd bukan sahaja menghalang kebebasan media tetapi turut menghalang rakyat daripada mendapat berita selain media perdana.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan KDN itu akan menjadi penyumbang kepada kejatuhan Indeks Kebebasan Media.

"Tindakan ini sangat tidak wajar dan sudah pasti akan menjadi punca kepada kejatuhan Indeks Kebebasan Media.

"Apabila KDN menarik balik permit penerbitan, ini bukan sahaja menyekat kebebasan media tetapi juga menghalang rakyat mendapatkan berita alternatif," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mahfuz juga berkata, media juga seharusnya menjadi institusi yang menjadi semak imbang kepada pentadbiran kerajaan.

"Konsep pengasingan kuasa iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman perlu ditambah kepada satu lagi iaitu media.

"Media perlu menjadi institusi yang menjadi semak imbang kepada kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambah beliau lagi, KDN perlu memberikan permit kepada semua media yang layak, bukan hanya kepada media yang mengikut telunjuk mereka sahaja.

"Seolah-olah apabila kerajaan beri permit, media itu perlu mengikut telunjuk mereka dan tidak boleh melaporkan perkara-perkara yang tidak berpihak kepada kerajaan. Ini tidak seharusnya berlaku dalam negara demokrasi.

"Apabila rakyat tidak mendapat perlindungan daripada kerajaan, media yang bebas perlu untuk menjadi pelindung kepada mereka," katanya lagi.

KDN menarik balik kelulusan permit FZ Daily beberapa jam selepas mahkamah membenarkan memulakan prosiding terhadap KDN yang menangguhkan permitnya.

Wartawan Tanpa Sempadan (RFS) semalam melaporkan kedudukan Malaysia merosot ke tahap paling buruk dalam Indeks Kebebasan Akhbar terbaru.

Malaysia kini berada di kedudukan 147 daripada 180 negara, merosot dua anak tangga lagi berbanding tahun sebelumnya (145).

Kedudukan itu meletakkannya berada di bawah negara-negara lain yang kurang membangun seperti Bangladesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144).

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud