ARTIKEL SEBELUM

15/02/14

Bayangan MB Selangor makin jelas

SHAH ALAM - Bayangan bakal Menteri Besar Selangor yang baharu semakin jelas sekiranya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi PRK Dun Kajang.

Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peletakan jawatan secara sukarela oleh Adun Kajang, Lee Chin Cheh adalah untuk memberi laluan kepada Anwar supaya lebih berperanan di Selangor.

Menurutnya, beliau menyanjung apa yang telah dicapai oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari sudut ekonomi dan kebajikan rakyat tetapi prestasi parti perlu dibaiki dalam beberapa aspek.

“Selangor menghadapi cabaran besar seperti isu kitab bible, air, ketegangan kaum dan agama tetapi kita tidak menolak kemenangan Anwar di Kajang nanti akan memberikan kita ‘option’ untuk beliau menjadi menteri besar dan lebih berperanan di Selangor ,”katanya kepada Sinar Harian,semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pembangkang baru-baru ini, apabila Anwar membayangkan dirinya akan menggantikan Abdul Khalid sekiranya memenangi PRK Dun Kajang.

Anwar dalam satu kenyataan eksklusif kepada Sinar Harian berkata, kemungkinan itu ada dan PR akan berbincang ikut proses Pakatan.

Mengulas dalam perkara sama berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PKR tamak dan Pas sepatutnya mempunyai wakil menjadi menteri besar setelah parti tersebut mempunyai kerusi terbanyak bersama DAP, Nik Nazmi berkata, isu tersebut perlu dilihat bagaimana situasi tersebut timbul.

Katanya, sekiranya tiada perlawanan tiga penjuru di Kota Damansara dan Semenyih pada pilihan raya lalu, PKR sudah mempunyai 16 kerusi.

“Bagaimanapun, PR bersifat muafakat dan tidak timbul isu ‘big brother’ dalam isu ini. Kita bukan seperti BN kerana PR adalah rakan kongsi.

“Pas memiliki Kelantan dan DAP memiliki Pulau Pinang.

"Oleh itu, kita kena lihat konteks ini dalam realiti politik sekarang, “katanya.

Menurutnya lagi, dulu Pas di Perak juga mempunyai kerusi yang paling sedikit tetapi wakil mereka masih tetap menjadi MB Perak.

Katanya, perbezaan pendapat antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bukanlah perkara baharu kalau dilihat pada 2008 di mana Kelab Penyokong Adun PR juga bersikap lantang.

Jelasnya, perbezaan pendapat antara mereka berdua bukanlah negatif tetapi memerlukan ‘check and balance’ kerana kelantangan suara juga diperlukan dalam membangkitkan isu rakyat.

“Bagaimanapun, Anwar juga telah mengingatkan pemimpin PKR supaya menghormati prinsip kebersamaan dalam membuat keputusan agar tidak timbul isu-isu sensitif

“Saya yakin semua kepimpinan sensitif terhadap luahan Anwar ini kerana kita mahu Anwar menang selesa di Kajang,” katanya.

Mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang tetap konsisten dengan keputusannya menolak Anwar sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, Nik Nazmi berkata pemimpin Pas diingatkan untuk mengenang semula senario pada PRU13 sebelum menolak PKR terus mentadbir Selangor.

Nik Nazmi berkata, Pas perlu belajar dengan apa menimpa Kedah dan Perak, yang mana akibat krisis politik yang berlaku, PR telah kehilangan kedua-dua negeri itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud