ARTIKEL SEBELUM

7/01/14

Rumah, kereta YDP Majlis Daerah Besut ditembak

BESUT  - Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad, 55, dan keluarganya menempuh detik mencemaskan selepas rumah dan keretanya ditembak sebanyak enam das oleh individu tidak dikenali yang dipercayai satu ugutan kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Kejadian di Kampung Gong Kepas Dalam dekat sini kira-kira pukul 6.15 pagi itu hanya disedari isteri mangsa yang menemui kesan tembakan ketika keluar untuk membersihkan halaman banglo setingkat tersebut pukul 8.30 pagi.

Dua kesan tembakan itu ditemui di dinding rumah manakala empat lagi kesan tembakan di kereta jenis Mercedes-Benz.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapha berkata, isteri Ibrahim berusia 40-an kemudian menghubunginya yang ketika itu sudah pun ke pejabat dengan menggunakan kenderaan rasmi bersama pemandu.

"Siasatan awal polis percaya penjenayah itu lebih daripada dua orang dan datang ke situ dengan menaiki motosikal.

"Polis tidak menolak kemungkinan tembakan itu berupa satu ugutan terhadap Ibrahim ekoran rasa tidak puas hati dalam soal pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu atau ketegasan mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurut Jamshah, ketika kejadian itu Ibrahim, isteri dan empat anaknya berada di dalam rumah dan mereka tidak mengesyaki apa-apa kejadian buruk walaupun terdengar bunyi beberapa letupan.

Kata beliau, hasil siasatan menemui kelongsong dan serpihan peluru di kawasan rumah tersebut dan tembakan dipercayai dilepaskan dari jarak kira-kira empat meter.

"Pintu pagar rumah mangsa tertutup ketika kejadian dan polis menjumpai kelongsong peluru bersaiz sembilan milimeter yang digunakan oleh suspek.

"Mangsa memaklumkan tidak pernah menerima apa-apa ugutan ketika menjalankan tugasnya dan tidak mempunyai masalah peribadi dengan sesiapa," ujarnya.

Jamshah memberitahu, polis memandang serius perkara itu kerana melibatkan cubaan mengugut dan menakut-nakutkan kakitangan kerajaan dalam menjalankan tugas dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Berat) dan Akta Senjata 1960. 





© Utusan Melayu (M) Bhd

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud