Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataannya yang menyifatkan peserta himpunan membantah kenaikan harga barang pada 31 Disember lalu sebagai 'bughah' dan "halal darah".
"Kita sudah panggil pun... Ia bukan panggil orang tertentu saja, kita panggil semua. (Yang) mengancam keselamatan yang kita panggil.
"Tak kira siapa sahaja," katanya dalam wawancara dengan media di Bukit Aman hari ini.
Diminta menyatakan bila tokoh agama itu dipanggil memberi keterangan, Khalid berkata:
"Saya tidak ada tarikhnya. Tapi kita sudah panggil (beliau untuk memberi keterangan)," katanya.
Pada yang sama juga, pihaknya juga sedang menyiasat kenyataan Paderi Lawrence Andrew berkaitan penggunaan kalimah Allah di Selangor.
"Siasatan sedang dibuat termasuk apa yang disebut oleh Father Lawrence.
"Sebarang kenyataan yang boleh mengancam keselamatan negara, siasatan akan kita buat (siasatan)," katanya lagi.
Sementara itu, Khalid menafikan dakwaan polis mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan pada 31 Disember untuk menggulingkan kerajaan sebaliknya ia telah diuar-uarkan oleh media alternatif.
"Adakah kami perlu berdiam diri mengenainya? Adakah kami perlu kata, 'itu main-main sahaja'.
"Itu adalah satu seruan yang serius. Jadi, adakah saya tidak perlu mengambil tindakan? Tidak.
"Jika tiada tindakan diambil, langkah menyekat dibuat, ada pihak nanti akan megatakan serian itu benar dan menyeratinya, masa itu sudah terlambat kita ambil tindakan," katanya. mk