ARTIKEL SEBELUM

22/01/14

Kerana bertudung penyanyi dipaksa turun pentas

 


KUALA LUMPUR - Seorang penyanyi sambilan mendakwa dipaksa turun pentas pada majlis makan malam anjuran sebuah syarikat pembinaan di sebuah pusat konvesyen di ibu negara pada 18 Jan lepas kerana bertudung.

Ketika kejadian, wanita itu mendakwa beliau berada di pentas utama setelah dijemput menyanyi oleh kumpulan muzik untuk majlis makan malam itu namun diminta turun oleh seorang pengarah syarikat berkenaan.

"Pengarah itu berkata kepada saya, bertudung tidak sesuai dengan majlis itu," kata Marinatasha Isnariah Mustapar dalam sidang media anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di sini semalam.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez dalam sidang media itu mengesahkan menerima aduan daripada penyanyi sambilan itu.

Freddie berkata isu diskriminasi terhadap wanita bertudung tidak seharusnya berlaku dinegara ini dan berharap pihak yang terlibat tampil memberi penjelasan dan membuat permohonan maaf.

"Mereka harus tampil untuk selesaikan secara baik, kami (Karyawan) akan menulis surat kepada pihak pengurusan Castmet Sdn Bhd bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Castmet Tan Keh Wah memberitahu Bernama, syarikatnya tidak pernah mendiskriminasi mana-mana bangsa atau agama seperti yang didakwa.

"Saya menegaskan syarikat kami bukanlah rasis seperti didakwa, sebaliknya kejadian malam itu bukanlah kerana penyanyi itu bertudung tetapi dia bukan penyanyi yang dipersetujui oleh pengurusan majlis," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tan menjelaskan perjanjian antara syarikatnya dengan sebuah syarikat pengurusan yang telah melantik kumpulan nyanyian malam itu tidak melibatkan penyanyi wanita bertudung kerana majlis malam itu ada menghidangkan minuman keras.

Antara isi kandungan perjanjian itu juga, penyanyi kumpulan berkenaan dikehendaki berinteraksi serta menari bersama tetamu yang kebanyakannya lelaki bukan Islam, dan bagi menjaga maruah serta sensitiviti orang Islam syarikat telah bertegas untuk tidak melibatkan penyanyi yang bertudung," kata Tan. - BERNAMA

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud