ARTIKEL SEBELUM

5/01/14

Kelantan tidak pinggir PKR

 Mohd Amar Abdullah


KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah menyangkal dakwaan mengatakan kerajaan negeri meminggirkan kepimpinan PKR negeri ini.

Menurutnya, kerjasama yang dilakukan bersama PKR sekarang adalah berdasarkan apa yang dipraktikkan sewaktu zaman pemerintahan bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita tidak pinggirkan sesiapa, pelantikan penghulu dan jawatan lain, cuma untuk pelantikan exco itu memang kita tidak pernah lakukan, sebab hanya (menang) satu kerusi sahaja, Pas di Pulau Pinang pun hanya satu kerusi dan tidak dijadikan exco juga, jadi semuanya sama sahaja.

“Apa yang dibuat zaman Tok Guru (Nik Aziz) akan tetap kita kekalkan sehingga hari ini, tidak menjadi masalah pun sebenarnya, cuma kita tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh beliau, jika benar beliau rasa perlu penyertaan yang lebih dalam pentadbiran kerajaan, boleh datang jumpa menteri besar untuk membawa pandangan tersebut, ikut prosedur yang betul,” katanya kepada media selepas kuliah mingguan di Medan Ilmu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pemimpin PKR negeri melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan sikap kerajaan negeri yang didakwa tidak melaksanakan janji.

Lebih menguatkan lagi dakwaan tersebut apabila Setiausaha Politik menteri besar, Wan Nik Wan Yusoff dalam satu kenyataan berpandangan hanya dua parti sahaja dominan di Kelantan iaitu Pas dan Umno, manakala PKR tidak mendapat sokongan rakyat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan turut menyifatkan kenyataan dikeluarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung perhimpunan ‘Turun’ sebagai keterlaluan.

“Beliau sepatutnya lebih cermat mengeluarkan sebarang kenyataan, oleh sebab ‘bughah’ (penderhaka) yang digunakan terlalu berat untuk dijadikan hukuman, jadi adakah orang yang turun secara aman meminta supaya kerajaan menurunkan harga barang itu dianggap sebagai penderhaka, mereka tiada senjata, tiada apa.

“Kenyataan mufti itu bagi saya terlalu berat dan tidak menepati suasana sebenarnya. Saya berharap dia akan lebih berhati-hati pada masa akan datang sebab orang akan berpegang pada pandangan mufti, sedangkan perkara tersebut tidak sampai hingga ke peringkat itu,” katanya. - SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud