ARTIKEL SEBELUM

4/01/14

Demo berkesan desak kerajaan

SHAH ALAM - Pembangkang akan terus beri tekanan kepada kerajaan termasuk turun ke jalanan bagi membela nasib rakyat berhubung isu kenaikan kos sara hidup.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, PR juga akan melakukan jelajah di seluruh negara bagi beri penerangan berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta isu berbangkit untuk menaikkan momentum rakyat bagi respons kepada kerajaan.

“Saya lihat cara ini berjaya, apabila kerajaan terus menerus mendapat tekanan daripada rakyat maka mereka akan respons dengan isu tersebut. Contohnya isu kenaikan tol, apabila ramai yang bangkit, sehingga kini kerajaan masih belum mengumumkan sebarang kenaikan tol,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, PR sudah memutuskan untuk turun pada 1 Mei nanti bagi membantah pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang.

Beliau berkata, pihaknya juga akan terus membuat pendedahan berhubung pembaziran kerajaan dalam projek yang tidak menguntungkan kerana dengan cara itu juga menarik minat kerajaan untuk berjimat.

Ditanya mengenai usaha PR dalam membantu rakyat menangani masalah peningkatan kos sara hidup masa kini, beliau berkata, pihaknya sentiasa berunding dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan PR bagi mencari segala kaedah dalam membantu meringankan beban rakyat.

“Contohnya di Selangor tiada kenaikan cukai pintu untuk 2014. PR Selangor juga memikirkan untuk menambah ruang perniagaan bagi membolehkan golongan belia yang tidak bekerja menceburi bidang perniagaan.

“Selain itu membuka ruang bagi mereka yang sudah bekerja menambah pendapatan sampingan dengan meningkatkan lagi pinjaman mikro kredit pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, demonstrasi berkesan untuk mendesak kerajaan supaya tidak terus menekan rakyat melalui pelbagai kenaikan.

Katanya, selagi demonstrasi aman tanpa senjata dan tidak mengganggu ketenteraman awam, Pas akan turut serta dan beri sokongan.

“Kami akan perjuangkan nasib rakyat melalui pelbagai ruang demokrasi yang ada selain memelihara perlembagaan negara.

“Contohnya kami akan gunakan wakil rakyat daripada PR untuk bersuara di Parlimen dan Dun mendesak perkara yang menjadi perhatian rakyat,” katanya.

Salahudin berkata, pihaknya mempunyai biro khas iaitu Biro Pengguna yang sentiasa memantau kawalan harga di samping membuat tinjauan bagi mendengar keluhan rakyat di seluruh peringkat.

“Antara cara yang digunakan adalah berdiskusi dengan rakyat apakah kesan setelah kenaikan harga barangan dilakukan kerajaan, sejauh mana menjejaskan mereka.

“Selain itu, kita juga beri penerangan bagaimana untuk mendepani masalah ini dan respons kepada kerajaan,” katanya. - SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud