ARTIKEL SEBELUM

2/01/14

BN terus hilang undi bandar dengan batal rebat tol, kata pengkritik


Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kehilangan sokongan di Kuala Lumpur dan Selangor ekoran pemberhentian rebat tol 20% di kalangan penggunanya ketika hampir kesemua rakyat terpaksa berjimat kerana kenaikan kos sara hidup, kata Ahli Parlimen pembangkang.

BN hilang majoriti kerusi di Kuala Lumpur dan Selangor dalam dua pilihan raya lalu, di samping hilang undi popular dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

PRU14 dijangka akan diadakan pada tahun 2018 dan BN dijangka akan terus bergantung kepada undi luar bandar untuk mengekalkan kuasa.

Ahli Parlimen PKR dari Pandan, Rafizi Ramli (gambar) berkata, keputusan kerajaan menghentikan rebat tol ialah satu lagi tindakan pentadbiran Najib yang membuktikan mereka sudah hilang sentuhan dengan rakyat.

"BN boleh buang terus peluang untuk mendapatkan undi bandar sehingga 10 tahun akan datang.

"Walaupun mereka boleh menggunakan pemberian segera untuk mendapatkan undi luar bandar, dengan bebanan yang ada mereka boleh lupakan pengundi bandar kerana kegelisahan sudah merata tanpa mengira bangsa dan agama," kata Rafizi kepada The Malaysian Insider.

Katanya, menghentikan rebat tol sangat dikesali kerana orang ramai tidak akan terima apapun alasan Putrajaya kerana ia dianggap menambahkan kesusahan mereka.

"Rebat tol walaupun kecil masih menyumbang kepada meringankan bebanan pengguna khasnya yang tinggal di Lembah Klang,"kata Rafizi.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, kebanyakan pengguna dapat memotong sehingga RM30 ke RM40 sebulan melalui rebat ini.

"Bagi penduduk Lembah Klang, ini adalah tanda BN membiar mereka dan nampaknya BN tidak berminat untuk mendapatkan undi mereka semula," katanya.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua pula berkata rebat tol bukan kekal dan bukan penyelesaian kepada kadar tol yang mahal.

Ia hanya satu polisi untuk mengawal sentimen anti kerajaan menjelang PRU13.

"Adalah mengejutkan bila rebat ditarik balik dan kadar tol dinaikkan berdasarkan perjanjian berat sebelah konsesi tol," katanya.

Bagi Pengerusi DAP Selangor itu, jalan untuk menyelesai masalah yang tidak kesudahan akibat perjanjian berat sebelah ini adalah dengan cara kerajaan membeli balik kesemua lebuh raya ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan jelas tidak berminat dan hasilnya pemegang konsesi terus kaya-raya dan rakyat menjadi mangsa. – TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud