Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilarang daripada memasuki Jepun hari ini, ekoran sesuatu yang berlaku tahun lalu, walaupun sudah memasuki negara itu tanpa halangan sebelum itu – pada 2006, 2009 dan 2012.
Ketua umum PKR itu berkata, pegawai imigresen di Lapangan Terbang Narita memintanya mengambil penerbangan pertama untuk kembali sejurus sahaja tiba atau akan dihantar pulang.
“Ekoran saya terus menuntut penjelasan, mereka akhirnya memberitahu terpaksa mengambil langkah itu 'kerana laporan terkini' kemungkinan pada 2013,” katanya.
Beliau kemudian mengambil pesawat keluar pada jam 10.45 pagi waktu Tokyo.
Anwar berlepas ke negara matahari terbit itu untuk membentangkan kertas kerja untuk Yayasan Nippon.
Dalam kenyataannya malam ini, Anwar berkata, pejabatnya sudah menyemak dengan kedutaan Jepun berhubung keperluan penerbangannya minggu lalu dan tidak dimaklumkan sebarang halangan.
Justeru, beliau mendesak Wisma Putra menjelaskan perkara itu, terutamanya berhubung “laporan terkini” yang menyebabkan beliau dilarang.