ARTIKEL SEBELUM

6/12/13

Usah tambah derita rakyat, kaji semula kenaikan tarif elektrik

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mahu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Maximus Ongkili mengkaji semula kenaikan tarif elektrik yang ternyata membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata, kenaikan mengejutkan itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen UMNO sendiri kerana ia jelas mengetepikan kepentingan rakyat dan hanya bertujuan mengaut untung semata.

“Peningkatan ini adalah terlalu tinggi, tidak adil dan tidak wajar, saya memohon ia dikaji semula. Inilah bahananya apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengutamakan keuntungan besar daripada memikirkan beban yang terpaksa ditanggung golongan berpendapatan rendah.

“Maximus juga perlu menjawab empat soalan asas iaitu mengapa tiada rundingan awam? Mengapa peningkatan begitu mencanak apabila sudah ada peningkatan sebanyak 7.12 peratus pada Jun 2011? Apakah ini bertepatan dengan slogan BN ‘Rakyat Didahulukan’?

“Mengapa beliau gagal memberi notis yang lebih panjang? Adakah Maximus tidak sedar bahawa pengguna komersil dan industri memerlukan masa untuk mengurangkan kos yang tinggi bagi menjalankan perniagaan dan pengeluaran?,” soalnya dalam kenyataan media.

Katanya, kenaikan itu juga akan menaikkan harga barang dan menambah beban golongan berpendapatan rendah.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP juga kesal berhubung kegagalan kerajaan mengurangkan subsidi besar kepada IPP.

“Mengapa pengguna dan industri perlu terus menanggung beban dasar rasionalisasi subsidi kerajaan apabila syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) meraih keuntungan besar menerusi pembelian tenaga yang tidak adil.

“Rundingan semula perjanjian pembelian tenaga perlu dilakukan.

“Sudah lebih dua tahun berlalu, tiada apa yang dilakukan kerajaan kecuali mengumumkan dua kenaikan elektrik pada 1 Jun 2011 dan 1 Januari 2014,” katanya. -Roketkini.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud