ARTIKEL SEBELUM

22/12/13

Nik Abduh: Dedah perjanjian konsesi tol


KOTA BHARU - Kerajaan digesa membuat pendedahan mengenai perjanjian konsesi yang pernah dibuat ketika zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum menaikkan bayaran tol.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, isu tol tersebut kini timbul kesan daripada perjanjian konsesi sebelum ini.

“Perjanjian konsesi ini boleh menjerut rakyat dan memerangkap Barisan Nasional (BN) itu sendiri dan ia menunjukkan usaha yang tidak menepati janji kepada rakyat. Aspek ini tidak meyakinkan rakyat dan hanya dilihat sebagai janji manis BN sebelum ini sekiranya kenaikan tol benar-benar dijalankan,” katanya kelmarin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semula aku janji kerajaan BN agar mengkaji semula cadangan kenaikan kadar tol kerana sebelum ini pernah berjanji akan mengurangkan kadar tol secara berperingkat.

Nik Abduh yang juga Ahli Jawatan Kuasa Kerja Pas Pusat berkata, bagi tempoh jangka pendek, kenaikan tol tersebut boleh disekat dan diubah, malah rakyat perlu mengetahui isi perjanjian dengan pihak terlibat, termasuk mengenai syarikat yang mendapat keuntungan besar.

“Rakyat perlu tahu mengenainya, namun ia tidak didedahkan. Saya lihat perjanjian lama sekarang menjadi beban bukan sahaja kepada rakyat, tetapi kepada kerajaan sendiri.

“Kerajaan jangan silap kata dengan rakyat. Itu harapan rakyat supaya jangan naikkan tol. Sekarang rakyat resah hati dengan kenaikan pelbagai perkara secara berterusan dan menunjukkan kerajaan tidak dapat mengawalnya,” katanya. SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud