ARTIKEL SEBELUM

21/12/13

Mat Sabu pembuat filem?



Jika tidak menyertai politik, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) mungkin akan menjadi pembuat filem.

Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu mendedahkan, minat beliau terhadap filem dan drama bermula semenjak beliau masih lagi mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jika beliau menjadi pembuat filem, Mohamad sudah pasti menjadi kontroversi sepertimana karier beliau di dalam politik.

“Saya sangat minat kepada drama. Salah satu pementasan yang saya dan beberapa yang lain lakukan adalah berdasarkan puisi Kassim Ahmad ‘Tuhan Sudah Mati,’” kata Mohamad dalam satu wawancara di Radio Bangsar Utama (RABU) di Kuala Lumpur malam tadi.

“Persembahan kami baik dan turut diundang RTM pada ketika itu untuk mementaskan ia semula di televisyen,” kata Mohamad sambil disambut dengan sorakkan oleh hadirin yang kebanyakannya anak muda di studio RABU.

Menurut Mohamad, beliau tidak mempunyai banyak masa untuk aktiviti seni selepas terlibat dengan pergerakan mahasiswa yang aktif pada tahun 1970an dahulu.

Sehingga hari ini Mohamad masih meminati untuk menonton filem Hollywood dan Bollywood.

“Saya suka filem Hindustan kerana di dalamnya semua polis dan hakim jahat. Kemudian akan ada watak polis baik yang jujur dan cuba melawan mereka semua,” katanya disambut dengan gelak tawa daripada hadirin.

Filem terbaru Hollywood yang beliau minati adalah “Iron Lady” yang menceritakan tentang kehidupan bekas Perdana Menteri Britian Margaret Thatcher dan dilakonkan oleh Meryl Streep.

Minatnya terhadap seni juga menyebabkan beliau mencari penyanyi popular pada tahun 1960an dan 70an S Jebeng.

Menurut Mohamad, industri seni di Malaysia tidak begitu berkembang kerana rakyat Malaysia sendiri tidak menghargainya.

“S Jebeng sangat popular dulu. Berjuta rekodnya terjual. Akan tetapi apabila saya melawatnya di rumah saya terkejut beliau tinggal di kawasan setinggan.”

Menurut Mohamad, ini juga berlaku terhadap kumpulan muzik Indonesia dari Medan, Sumatera yang hidup miskin di hari tua walaupun “meletup” di Indonesia dan Malaysia.

“Kita tidak mementingkan harta intelek. Ini menunjukkan bagaimana kita tidak menghargai artis kita.”.

Beliau membandingkan dengan Iran yang walaupun mempunyai halangan di peringkat antarabangsa masih boleh menghasilkan filem yang memenangi anugerah antarabangsa.

“Itulah negara yang menghargai seni. Penyair mempunyai tugu dan taman yang dinamakan sempena nama mereka.

“Akan tetapi di Malaysia, sasterawan seperti (Datuk) A Samad Said ditembak dengan gas pemedih mata,” kata beliau melawak, merujuk kepada bekas pengerusi bersama Bersih. – 19 Disember, 2013.

TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud