Tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan teks khutbah Jumaat yang berunsur politik tidak menyenangkan Datuk A Samad Said sehingga menyebabkan beliau mendirikan solat Jumaat di Masjid India sejak dua minggu lalu.
Sasterawan Negara itu yang mesra dipanggil Pak Samad berkata, beliau selesa mendengar khutbah di Masjid India kerana tidak perlu memahami kandungan khutbah tersebut yang dibacakan menggunakan bahasa Tamil.
“Saya biasa mendirikan solat Jumaat di Masjid Negara tetapi dua minggu lalu saya solat di Masjid India kerana saya tidak suka khutbah di Masjid Negara apabila khatibnya membaca khutbah bukan berkhutbah.
“Perpindahan itu sengaja saya lakukan supaya saya tidak tahu isi kandungan khutbahnya. Senang hati saya. Khutbah sekarang dijadikan medan politik.
“Dahulu saya bersolat Jumaat di Masjid As-Syakirin KLCC yang menyeru supaya jangan berdemonstrasi tetapi selepas solat, jemaah berdemonstrasi,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.
Pak Samad berkata, situasi itu tidak disenanginya dan membuatnya berpindah ke Masjid Negara tetapi khatib membangkitkan pula isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ketika khutbah.
Beliau berkata, tindakan Jakim itu “gasak sampai tumpul” yang membuatkannya lebih senang untuk tidak memahami isu yang dibacakan dalam khutbah Jumaat.
“Aktiviti saya dua hari dalam seminggu pasti dihabiskan di Masjid Negara tetapi apabila khutbah Jumaat saya pindah di tempat lain. Khutbah sekarang terlalu sendat dengan politik.
“Saya lihat khutbah perlu diisi dengan hal ehwal semasa, menoleh belakang dan merenung ke masa depan tentang apa yang akan berlaku,” katanya yang berpuasa hari Asyura semasa ditemubual semalam.
Sasterawan Negara yang pernah ditahan polis pada tengah malam dan disoal siasat berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang kemerdekaan lalu, melihat khutbah boleh menyampaikan mesej positif dan perlu mengelak daripada berkempen kerana ia terkeluar daripada prinsip khutbah.
Katanya, kesempatan itu sebaliknya perlu digunakan untuk memberi kesedaran kepada kerajaan atas segala salah laku yang merugikan negara.
“Antara yang boleh dihuraikan mengapa secara tiba-tiba, banyak pistol dalam negara. Ini boleh dijelaskan. Kita juga mempunyai pendatang yang banyak dan tidak terganggu.
“Pesanan yang boleh disampaikan dengan menyeru untuk membetulkan dasar imigresen negara. Malah khutbah sifatnya tidak harus menyalahkan tetapi melihat dasar undang-undang sama ada ia terlepas pandang,” katanya yang berpakaian serba putih dengan janggut yang panjang mengurai.
Awal November lalu, khutbah Jumaat terbitan Jakim meyakinkan hadirin GST tidak akan membebankan rakyat dan menyifatkannya sebagai kaedah penyusunan semula sistem percukaian negara.
Dalam khutbah bertajuk “Memperteguh Ekonomi Ummah,” Jakim berkata, dengan pelaksanaan GST, sistem percukaian negara juga akan dapat diurus tadbir dengan lebih berkesan, saksama dan efisien selain dapat mengelak berlakunya cukai yang terselindung dan bertindih.
Jakim turut menyeru semua pihak bersama-sama berusaha dalam menjayakan Bajet 2014 dengan memberi kerjasama serius dan teratur.
Katanya, usaha itu dapat dilakukan dengan memastikan urus tadbir terbaik dalam perkhidmatan serta mengelak berlakunya ketirisan dan penyelewengan.
Jakim turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas pembentangan bajet yang disifatkan mendahulukan kepentingan rakyat.
Pertengahan bulan lalu, Jakim turut mempersoalkan tuntutan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (Comango) di dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang membuat aduan terhadap kerajaan Malaysia di Geneva atas nama hak asasi manusia.
Dalam khutbah itu, Jakim mengingatkan hadirin Malaysia akan dinilai dalam UPR di Majlis Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jakim berkata, tingkah laku badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia berkenaan bertujuan mengambil kesempatan untuk terus mengelirukan dan menggugat kedudukan istimewa agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, desakan NGO tersebut bertujuan menghalalkan kebebasan hak asasi manusia secara mutlak yang nyata bertentangan dengan prinsip ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat serta undang-undang negara.
Dalam khutbah sebelumnya, Jakim mempersoalkan mengapa kalimah Allah hendak digunakan dalam Bible, kerana apabila kalimah Allah digunakan secara langsung di dalam kitab itu akan membatalkan konsep Triniti yang diamalkan mereka.
Katanya, penggunaan tersebut jelas menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal identiti Allah serta meruntuhkan akidah umat Islam.
Manakala pada September, program pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Najib turut mendapat liputan khutbah Jumaat.
Khutbah yang bertajuk "Memperkasa Ekonomi Ummah" itu menggambarkan kaum Bumiputera masih ketinggalan dalam bidang ekonomi meskipun umat Islam merupakan kaum majoriti negara.
Dalam khutbah itu, Jakim menggariskan lima teras program pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang diumum Perdana Menteri sambil mengajak hadirin melihat keikhlasan pemimpin itu untuk membela umat Islam.
Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata Umno digesa menghormati badan keagamaan seperti Jakim yang diwujudkan sebagai sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan.
Katanya, Umno menggunakan khutbah Jumaat untuk membela pelaksanaan cukai baru kerajaan iaitu GST.
Beliau turut mengecam Umno meskipun sudah berusia setengah abad, tetapi tidak bersikap matang dalam berpolitik dan beliau menggesa Umno berhenti daripada menggunakan institusi keagamaan demi survival politik sempit. - TMI