Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau dijangka dapat diumumkan kira-kira pukul 9 malam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau juga berpuas hati dengan persediaan SPR bagi pengundian PRK hari ini.
Berdasarkan tinjauan , kesemua pusat mengundi, saluran mengundi telah pun lengkap disediakan, selain pegawai yang akan bertugas esok telah dilatih dengan baik.
"Kita cuma berharap mereka masing-masing akan dapat bertugas pada masa ditetapkan, kerana selewat-lewatnya pusat mengundi mesti dibuka pukul 8 pagi," katanya.
Beliau turut menasihatkan pemimpin dan penyokong parti yang bertanding supaya menghormati peratuan berkempen yang berakhir tepat pukul 12 tengah malam .
"Dan kepada pengundi, kita harap mereka bersedia dengan maklumat seperti saluran mengundi, sekolah pusat mengundi dan nombor siri undian mereka, selain tidak lupa membawa kad pengenalan, pada hari mengundi kelak," katanya.
Sementara itu, bercakap kepada Bernama mengenai bekalan elektrik sepanjang pengundian dan pengiraan undi , Abdul Aziz berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diberi tanggungjawab bagi memastikan tiada gangguan sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, TNB membuat persediaan awal dengan menyediakan 18 set generator untuk ditempatkan di pusat penjumlahan undi serta di pusat pengundian Dun Sungai Limau.
Beliau berkata, SPR sememangnya sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk gangguan bekalan elektrik.