KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilihat tersepit ketika mahu menjawab soalan berhubung perbezaan kebenaran penggunaan kalimah Allah antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Persoalan itu muncul ketika beliau menjawab perbahasan Bajet 2014 di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu mencelah adalah Tian Chua (PKR-Batu) yang mendakwa beliau selaku bukan Islam keliru dengan versi berbeza-beza penjelasan kerajaan terhadap isu penggunaan kalimah Allah.
Versi pertama katanya oleh Menteri Dalam Negeri yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penggunaan kalimah itu, hanya terpakai kepada penerbitan dalam The Herald.
Versi kedua pula katanya, kenyataan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Sendiri yang berkata larangan tersebut hanya untuk Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak kepada Sabah dan Sarawak.
Jamil ketika menjawab soalan itu hanya berkata larangan untuk Sabah dan Sarawak itu telah diputuskan oleh kabinet di bawah perkara "10 point solution".
Bangun selepas itu Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mahukan penegasan menteri tentang perkara itu.
Mahfuz bertanyakan; "Betulkah kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang seorang Islam, telah membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam di Sabah dan Sarawak melalui "10 point solution?"
"Termasuk kepada orang Kristian di Semenanjung kalau dia pergi ke Sabah dan Sarawak boleh digunakan?" soalnya.
Jamil ketika menjawab persoalan itu bagaimanapun tidak mengiyakan mahupun menafikannya.
Beliau sebaliknya hanya mengulangi bahawa perkara itu telah diputuskan oleh kabinet di bawah perkara "10 point solution".
Datuk Dr Mujahid Yusof (PAS-Parit Buntar) kemudian bangun dan mendakwa bahawa isu kalimah Allah ini sebenarnya boleh diselesaikan tetapi sengaja dipolitikkan.
Katanya, 10 point solution dibuat kabinet ketika dalam keadaan Sarawak ketika.itu berdepan Pilihan Raya dan semasa kitab injil versi bahasa Melayu telah tiba di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang. - Hrkh Daily